Hukum Mengulangi Mandi Wajib Yang Dilakukan Secara Ala Kadar

Posted on Wednesday, August 07, 2019 | 8/07/2019



Soalan:
Dalam satu permusafiran saya telah berjunub sebelum memulakan perjalanan. Oleh itu, saya mandi wajib ketika dalam perjalanan secara sekadarnya sahaja di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) kerana ingin mendirikan solat. Persoalannya, apabila saya telah sampai di destinasi, bolehkah saya mengulangi mandi wajib yang saya lakukan secara sekadarnya sebelum itu, bagi memastikan bahawa ia benar-benar sah?

Jawapan:
Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) -kecuali kamu hendak melintas sahaja- hingga kamu mandi bersuci.” (Surah al-Nisa’: 43)

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ
Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.” (Surah al-Maidah: 6)


Para ulama’ telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

1. Niat
2. Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
3. Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan.
(Rujuk Matan Ghoyah wa al-Taqrib: 21)

Jika dilihat kepada syarat fardhu bagi mandi wajib, seseorang itu hanya perlu untuk menghilangkan najis di badannya sekiranya ada dan meratakan air ke seluruh badan dengan disertakan niat untuk mengangkat hadas. Apabila seseorang itu melaksanakan fardhu mandi wajib maka mandi wajibnya telah sah dan tidak perlu untuk dia mengulanginya sekali lagi.

Justeru itu, dia haruslah memastikan bahawa mandi wajib yang dilakukannya tersebut sah dengan melakukan syarat fardu mandi wajib tersebut, maka dengan demikian barulah dia boleh menunaikan solat kerana telah menghilangkan hadas. Jika sekiranya dia telah melaksanakan solat dengan keyakinannya terhadap kesucian dirinya dengan mandi tersebut, maka tidak perlu untuk dia mengulanginya walaupun dia mandi dengan sekadarnya sahaja.

Begitu juga, jika dalam keadaan dia yakin bahawa dia telah melaksanakan mandi wajib, namun kemudiannya dia syak bahawa sama ada dia sudah terbatal ataupun tidak, maka hukum mandinya masih kekal sah. Ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa:

اليَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّك
“Keyakinan tidak akan terangkat dengan syak.”

Begitu juga, kaedah fiqh lain menyebutkan bahawa:

الأَصْلُ بَقَاْءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
“Asal hukum sesuatu itu kekal mengikut apa yang sebelumnya.”

Kaedah fiqh ini menunjukkan bahawa jika tidak terdapat sesuatu perkara yang menunjukkan bahawa sesuatu hukum asal itu terbatal, maka ia kekal pada hukum sebelumnya tersebut.

Selain daripada itu, dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau RA berkata:

أُقِيْمَتِ الصَّلاَةُ وَ عُدِّلَتِ الصُّفُوْفُ قِيَامًا فَخَرَجَ إِلَيْنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم فَلَمَّا قَامَ فىِ مُصَلاَّهُ ذَكَرَ أَنَّهُ جُنُبٌ فَقَالَ لَنَا: مَكَانَكُمْ ثُمَّ رَجَعَ فَاغْتَسَلَ ثُمَّ خَرَجَ إِلَيْنَا وَ رَأْسُهُ يَقْطُرُ فَكَبَّرَ فَصَلَّيْنَا مَعَهُ
Apabila telah diiqamatkan solat dan saf telah diluruskan, lalu keluarlah Rasulullah SAW kepada kami. Pada ketika Baginda SAW berdiri di tempat solat, Baginda SAW teringat bahawa Baginda SAW berada dalam keadaan berjunub. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepada kami, “Tetaplah di tempat kalian.” Kemudian Baginda SAW kembali dan mandi, selepas itu Baginda SAW keluar kepada kami dengan kepala Baginda SAW yang mulia masih menitis air. Lalu Baginda SAW mengangkat takbir dan kami pun bersolat bersamanya. [Riwayat al-Bukhari (275) dan al-Muslim (605)]


Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melaksanakan mandi wajib dalam tempoh yang singkat apabila para Sahabat menunggu Baginda SAW dalam waktu yang tidak lama. Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW melaksanakan dengan sempurna berdasarkan pemerhatian para sahabat RA yang melihat air masih menitis dari kepala Baginda SAW.

Disamping itu, para ulama’ tidak menetapkan bahawa perbuatan mengulangi mandi wajib itu merupakan satu perkara yang disunatkan. Bahkan para fuqaha’ Hanafiah dan Syafi’iyyah mengatakan bahawa ia tidak disunatkan dan makruh. Al-Hamawi seorang ulama’ Hanafi, dalam kitab Ghamz ‘Uyun al-Basair berkata:

وَ يُكْرَهُ تَجْدِيدُ الغُسْلِ مُطْلَقًا
“Maka makruh hukumnya untuk memperbaharui mandi wajib secara mutlak.” (Rujuk Ghamz ‘Uyun al-Basair, 4:75)

Manakala, Imam al-Nawawi dalam kitab beliau al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, berkata:

وَ أَمَّا تَجْدِيدُ الغُسْلِ فَالصَحِيحُ أَنَّهُ لَا يُسْتَحَبُّ
“Adapun mengulangi mandi wajib, maka mengikut pandangan yang sahih ianya merupakan sesuatu yang tidak disunatkan.” (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:494)

Hal ini kerana perbuatan mengulangi mandi wajib merupakan sesuatu berlebih-lebihan dalam agama, dengan menambah apa yang tidak sepatutnya ditambah.

Disamping itu, jika sekiranya perbuatan mengulangi mandi wajib disebabkan oleh perasaan was-was yang wujud di dalam diri seseorang itu, maka dia hendak menghindarkan diri daripada perasaan tersebut. Sesungguhnya perasan was-was itu berpunca daripada syaitan. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ﴿٥﴾ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.” (Surah al-Nas: 5-6)


وَلَا رَيْبَ أَنَّ الشَّيْطَانَ هُوَ الدَّاعِي إِلَى الوَسْوَاسِ : فَأَهْلُهُ قَدْ أَطَاعُوا الشَيْطَانَ ، وَلَبُّوا دَعْوَتَهُ ، وَاتَّبَعُوا أَمْرَهُ ، وَرَغِبُوا عَن اتِّبَاعِ سُنَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ تَعَالَى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَطَرِيقَتِهِ ، حَتَّى أَنَّ أَحَدَهُم لِيَرَى أَنَّهُ إِذَا تَوَضَّأَ وُضُوءَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ تَعاَلَى عَلَيهِ وَسَلَّمَ ، أَوْ اغْتَسَلَ كِاغْتِسَالِهِ ، لَمْ يَطْهُرْ وَلَمْ يَرْتَفِعْ حَدَثُهُ وَلَوْلَا العُذْرُ بِالجَهْلِ لَكَانَ هَذَا مَشَاقَةٌ لِلرَّسُولِ
“Tanpa syak lagi bahawa sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Golongan yang was-was telah mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada mengikut sunnah dan jalan Baginda SAW sehinggalah seseorang daripada kalangan mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah SAW.” (Rujuk Ighathat al-Lahfan Min Masaid al-Shaytan: 123)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa hukum mengulangi mandi wajib yang dilakukan secara ala kadar adalah tidak disunatkan, bahkan makruh. Ini kerana jika mandi tersebut sudah sah dengan melaksanakan kesemua fardunya, maka tiada keperluan bagi seseorang itu untuk mengulanginya lagi. Disamping itu, seseorang yang ingin melaksanakan sesuatu ibadah hendaklah meyakini bahawa dia sudah suci daripada hadas. Jika tidak, dia wajib menyucikan dirinya terlebih dahulu dengan sebetulnya.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat agama-Nya dengan sebaiknya. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 8/07/2019

0 comments:

Loading...