Islam Itu Agama Kedamaian

Posted on Wednesday, August 21, 2019 | 8/21/2019



Hakikatnya, Islam ialah agama yang amat membenci keganasan dan kezaliman. Islam memerintahkan umatnya berkasih sayang sesama makhluk di atas muka bumi ini dan meletakkan kedamaian dan kesejahteraan sebagai asas dalam kehidupan. Diantara bukti bahawa Islam membenci keganasan ialah:

1. Islam membenci seseorang yang sengaja membunuh orang beriman yang lain. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa, ayat 93:

Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

2. Allah SWT memerintahkan kita agar bertindak secara adil terhadap semua manusia tanpa mengira sama ada mereka beriman atau kafir selagi mana mereka tidak bertindak mencemari dan memerangi agama Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 8:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

3. Rasulullah SAW melarang kita membunuh manusia dan haiwan tanpa hak. Bahkan, perbuatan tersebut akan dipertanggungjawabkan nanti di akhirat. Ini dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru Radhiallahu Anhuma Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa dari kalangan manusia yang membunuh seekor burung atau yang lebih kecil tanpa haknya, maka Allah akan meminta dia bertanggungjawab kelak di akhirat.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apa haknya?” Rasulullah menjawab: “Disembelih lalu dimakan, dan janganlah seseorang memotong kepalanya (membunuhnya) lalu dibuang.” (Riwayat An-Nasa’i)

4. Dalam sejarah kegemilangan Islam di zaman Nabi SAW dan diteruskan pula oleh para khalifah Islam telah menjadi bukti yang nyata bahawa Islam datang kepada manusia dalam keadaan damai dan menolak sebarang unsur keganasan. Sebagai contoh, dalam peristiwa Pembebasan Kota Makkah (Fathul Makkah) tidak berlaku pertumpahan darah di kalangan orang Islam dan penduduk Makkah. Bahkan, Nabi SAW dan sahabat Radhiallahu Anhum menunujukkan akhlak yang mulia terhadap kaum Musyrikin Makkah walaupun dahulu mereka pernah menyeksa dan menghina baginda dan para sahabat. Akhlak yang begitu indah ini menyebabkan mereka memeluk Islam secara beramai-ramai.

Begitu juga ketika tentera Islam berjaya menguasai Kota Konstantinopel, penduduk Konstantinopel yang beragama kristian berserta para pendeta berkumpul ketakutan kerana menyangkakan mereka akan dibunuh atau ditindas secara zalim. Akan tetapi sebaliknya Sultan Muhammad Al-Fateh menunjukkan keadilan islam dengan menitahkan agar mereka semua pulang ke rumah seperti biasa dengan aman. Bahkan, baginda juga menjamin kebebasan kepada mereka untuk mengamalkan kepercayaan mereka. Melihat betapa mulianya akhlak Sultan Muhammad Al Fateh, penganut Kristian termasuk beberapa pendeta telah memeluk Islam secara beramai-ramai. Bahkan hakikatnya, masyarakat kristian telah mendapat manfaat dan keamanan yang lebih baik di era khilafah Uthmaniah berbanding zaman pemerintahan Kerajaan Rom.

Banyak lagi contoh-contoh ketinggian tamadun Islam yang ditunjukkan di dalam lipatan sejarah kegemilangan Islam di seluruh dunia termasuk di Nusantara ini yang meletakkan kedamaian dan kesejahteraan sebagai batu asas kepada kejayaan Islam.

Malaysia adalah sebagai sebuah Negara contoh yang memperjuangkan kedamaian dengan menjunjung Islam sebagai agama persekutuan disamping memberi kebebasan bagi agama lain untuk diamalkan. Oleh sebab itu semua pihak wajiblah saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain tanpa mencetuskan prasangka dalam konteks kehidupan beragama di Malaysia. Bahkan nikmat kedamaian yang dikecapi selama ini sewajarnya disyukuri dan dihargai oleh semua pihak.

Umat Islam diperintahkan supaya berlaku adil dan saksama terhadap semua manusia walaupun terhadap orang yang tidak beriman selagi mereka tidak bertindak memerangi, memusuhi atau menghina agama Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 9:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 8/21/2019

0 comments:

Loading...