Misi sukar di Alor Setar malam ini - Nafuzi Zain

Posted on Thursday, August 08, 2019 | 8/08/2019



KUALA TERENGGANU: Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) berdepan tugas getir untuk meneruskan rentak kemenangan kedua bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Hal ini diakui pemangku ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain yang lebih selesa meletakkan TFC sebagai pasukan bukan pilihan menentang juara Piala FA terbabit.

“Kedah sebuah pasukan yang bagus dan lengkap di setiap posisi, apatah lagi masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala FA dan kemenangan ke atas Negeri Sembilan pada aksi pertama peringkat kumpulan minggu lalu,” kata Nafuzi yang mengambil alih tugas bermula pertengahan Mei lalu susulan peletakan jawatan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

"Barisan depan skuad itu juga perlu diawasi kerana mereka antara pasukan yang memiliki jentera serangan paling tajam dalam liga Malaysia (Liga M) musim ini, kita dapat jangkakan tentangan sengit bakal dihadapi dan sudah pasti pemain kita perlu lebih bersedia daripada segi mental serta fizikal.

"Justeru saya menyifatkan pertemuan kedua kempen Piala Malaysia itu pastinya cabaran getir buat TFC untuk menyaingi lawan yang memiliki reputasi sebagai juara.”

Pada aksi pusingan pertama Liga Super musim ini, skuad Helang Merah melakar kemenangan 3-0 di Alor Setar sebelum seri 2-2 pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Nafuzi yang berdepan dengan situasi kecederaan yang menimpa empat pemain tonggaknya tetap tenang dan masih berkeyakinan anak buahnya mampu mencapai sasaran mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

“Ketiadaan pemain itu tidak akan menjejaskan semangat pemain lain, mereka sudah buktikan ketika menundukkan PKNS 3-1 pada aksi pertama peringkat kumpulan minggu lalu dan berharap pencapaian itu mampu diulang,” katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 8/08/2019

0 comments:

Loading...