7 lelaki mabuk mandi dalam tangki air di Skudai ditahan polis

Posted on Monday, September 30, 2019 | 9/30/2019



Tujuh lelaki warga tempatan ditahan kerana menceroboh rumah pam air SAJ Ranhill di Jalan Mutiara Utama, Taman Mutiara Rini 2 dekat Skudai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 22 sehingga 24 tahun itu ditahan sekitar 10.50 pagi setelah ditemui sedang mandi di dalam tangki air berkenaan dan disyaki berada dalam keadaan mabuk.

Katanya, kejadian itu disedari berlaku ketika pekerja di bahagian rumah pam itu terdengar bunyi riuh rendah di atas tangki air kira-kira 10 pagi.

"Setelah membuat tinjauan dari bawah tangki, pekerja rumah pam berkenaan terlihat sekumpulan lelaki berkenaan mandi-manda di dalam tangki air, dalam keadaan disyaki mabuk.

"Kemudian saksi telah menghubungi pusat operasi untuk tindakan selanjutnya dan kira-kira 40 minit kemudian unit peronda SAJ Ranhill tiba dan menegur, selain menyoal siasat dan mengarahkan kesemua suspek untuk berkumpul, namun arahan itu tidak diendahkan," katanya menerusi kenyataan, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, kesemua suspek ditahan sebaik pihak polis tiba di lokasi kejadian dan didapati enam daripadanya tidak memiliki kad pengenalan.

"Menurut unit peronda SAJ Ranhill, kawasan tangki air tersebut telah diperiksa dan didapati tiada sebarang kehilangan ataupun kerosakan berlaku," katanya.

Beliau berkata permohonan tahanan reman akan dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 25 (1) (n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 9/30/2019

0 comments:

Loading...