Jerebu cecah paras bahaya, 298 sekolah di Sarawak ditutup


Sebanyak 298 sekolah di lapan daerah di Sarawak di tutup hari ini akibat jerebu dengan Sri Aman merekodkan kualiti udara tahap bahaya.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan berkata ia melibatkan 53 sekolah menengah dan 245 sekolah rendah di Betong, Bau, Kuching, Lubok Antu, Padawan, Samarahan, Sri Aman dan Lundu.

Seramai 128,291 pelajar terjejas akibat penutupan sekolah hari ini, menurut kenyataan berkenaan.

Kualiti udara di Sri Aman mencapai tahap bahaya secara mendadak dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 352 pada 6 pagi dan meningkat kepada 365 dua jam kemudian berbanding 214 yang direkodkan pada 12 tengah malam, semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata setakat 8 pagi, Kuching mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 219, berbanding 215, dua jam sebelumnya.

Katanya lapan daerah kekal mencatatkan bacaan IPU tidak Sihat iaitu Samarahan (160), Sarikei (148), Sibu (166), Bintulu (129), Mukah (140), Samalaju (113), ILP Miri (107) dan Miri (126).

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my