Mengantuk Ketika Mendengar Khutbah Jumaat

Posted on Saturday, September 14, 2019 | 9/14/2019



SOALAN:
Ketika khatib membaca khutbah di hari jumaat dan datang rasa mengantuk sehingga mengganggu pendengaran kepada isi khutbah adakah benar kita disuruh mengalih tempat duduk? Apakah pula hukumnya hadirin yang tertidur ketika khutbah disampaikan?

JAWAPAN:
Disunatkan bagi mereka yang mengantuk seperti sedang berada di dalam masjid mendengar khutbah atau lainnya bahawa dia beralih tempat duduknya sedikit.

Daripada Samurah bin Jundub r.a. Rasulullah saw bersabda:

إذا نعس أحدكم فليتحول إلى مقعد صاحبه وليتحول صاحبه إلى مقعده
“Apabila salah seorang kamu rasa mengantuk maka hendaklah dia beralih tempat duduk ke tempat sahabatnya dan sahabatnya mengambil tempat duduknya.” (Hadith Baihaqi)


Tidak disyaratkan berpindah tempat duduk itu mesti ke tempat duduk sahabat tetapi memadai asal beralih punggungnya dari satu tempat ke tempat yang lain sekalipun berdekatan.

Rasulullah saw bersabda:

إذا نعس أحدكم وهو في المسجد؛ فليتحول من مجلسه ذلك إلى غيره
“Apabila mengantuk oleh seorang kamu dan dia sedang berada di dalam masjid maka hendaklah dia alih tempat duduknya kepada tempat yang lain.” (Hadith Abu Daud & Tirmidzi)


Dan bermula mendengar khutbah itu adalah disuruh oleh syarak. Oleh kerana itulah dilarang para hadirin dari tidur ketika khutbah disampaikan. Perbuatan ini adalah dibenci sekalipun solat jumaatnya sah tetapi dia kehilangan fadhilat yang besar yang mendengar khutbah.

Berkata Imam Ibnu Sirrin:

مثلهم كمَثل سرية أخفقوا، يعنى كمن رجعوا من الغزو بدون فائدة من قتال أو غنيمة
“Bandingan orang yang tidur ketika khutbah itu seperti tentera yang pulang dari peperangan dalam kadaan kalah dengan tidak mendapat faedah kemenangan atau ghanimah (harta rampasan perang).”

Tetapi jika yang tidur ketika mendengar khutbah itu tidak tetap punggungnya pada lantai maka batal wudhu’nya dan jika dia tidak mengambil semula akan wudhu’ maka tidak sah solat jumaatnya.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media



Oh! Makan


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 9/14/2019

0 comments:

Loading...