APM Dungun Bersiap Siaga Hadapi Kemungkinan Banjir


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 22 Oktober- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun telah bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir di daerah itu.

Pegawai APM Daerah Dungun, Kapten Ramlan Ros Wahid berkata, dengan kekuatan 50 anggota, pihaknya bersedia bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan berlaku bila-bila masa.

"Insya-Allah kita bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat di Dungun, kita telah ada peralatan yang bersesuaian.

"Dari segi kenderaan pula kita memiliki enam buah bot dan satu lori besar yang dikhususkan untuk memberi bantuan dan juga menyelamat mangsa banjir," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas hadir pada majlis penyerahan bantuan mangsa ribut Lekima yang berlaku Ogos lalu, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi, hari ini.

Penyerahan sumbangan berkenaan telah disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman kepada sembilan penerima melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sumber: teganukita.net