'Jika awak tidak mahu kerja, kami OK' - Didakwa angkuh, netizen mula delete aplikasi Foodpanda sebagai tanda boikot


Syarikat perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda sudah meluaskan empayarnya di negara ini dengan penglibatan ramai penunggang motosikal khususnya golongan anak muda. 

Namun baru-baru ini, Foodpanda mengumumkan perlaksanaan skim pembayaran baru yang membuatkan ramai penunggangnya tidak berpuas hati dan melancarkan mogok pada 1 hingga 3 Oktober lalu kerana mendakwa skim baru itu tidak menjaga kebajikan mereka.

Perkara itu mendapat perhatian dari Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang kemudian meminta Foodpanda mengembalikan semula skim pembayaran sebelum ini. 

Difahamkan, kesemua 'riders' Foodpanda berhenti meneruskan mogok selepas kedua-dua pihak berbincang dan bersetuju untuk mencuba dahulu skim pembayaran baru itu dengan beberapa penambahbaikan. 

Semalam, Pengarah Urusan Foodpanda, Sayantan Das berkata, mereka tidak mempunyai masalah jika 'riders' mogok dan mengarahkan 'riders' yang tidak mahu bekerja perlu memberikan atau menukarkan syif mereka kepada 'riders' lain agar tidak menjejaskan pendapatan mereka. 

"Jika awak (riders) tidak mahu kerja, tolong berikan atau tukar awak punya syif pada penghantar lain sebab awak menjejaskan kehidupan mereka. 

"Mesej yang kami berikan adalah, jika awak tidak mahu kerja, kami OK sebab mogok tidak melanggar undang-undang.

"Mogok itu dijalankan oleh kumpulan yang sangat kecil oleh penghantar kami. Kami telah mengkaji dan memahami segmen penghantar, kurang dari satu peratus yang memulakan mogok," katanya memetik laporan dari MalaysiaKini semalam. 

Sementara itu, Syed Saddiq mengingatkan Foodpanda supaya tidak angkuh kerana mereka yang dibangunkan oleh pekerja atau pengguna selama ini juga boleh dijatuhkan oleh dua pihak berkenaan. 

"Sebagai korporat, mereka dibangunkan oleh pekerja atau pengguna dan boleh dijatuhkan oleh pekerja atau pengguna. 

"Keangkuhan bukan jalan penyelesaian. Hanya sokong korporat yang adil kepada pekerja dan pengguna," katanya. 

Di media sosial, netizen dilaporkan mula melancarkan boikot terhadap Foodpanda dengan membuang aplikasi Foodpanda dari telefon bimbit masing-masing. 



Sumber: MalaysiaKini


Sumber : thereporter.my