Laksana Kebaikan Selepas Lakukan Kejahatan


SOALAN:
Apakah maksud sebuah hadith yang menyebut buatlah kebaikan selepas kejahatan? Adakah hadith ini sahih?

JAWAPAN:
Hadith yang dimaksudkan ialah hadith yang diriwayatkan dari Abu Zar r.a katanya Rasulullah saw bersabda:

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
“Takutlah kamu akan Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah kejahatan itu dengan kebaikan yang akan menghapuskannya. Dan bergaullah akan manusia itu dengan akhlak yang elok.” [Riwayat At-Tirmidzi, hasan sahih]

Berkata Syeikh Abdullah Harari:

معنى الحديث أنه إذا عمل العبدُ سيّئةً صغيرةً أو كبيرةً يُتبعُها بالحسنة، والحسنةُ أنواعٌ كثيرة منها ما هو من الفرائض، ومنها ما هو من النوافل. فأيُّ حسَنةٍ من الحسناتِ من عملَها على سبيل السُّنة أي على ما يوافق ما جاء عن رسول الله صلى الله عليه وسلم فإنّها تُكفِّرُ من السَّيئّات ما شاء الله. وفي هذا الحديث أن "لا إله إلا الله" هي أفضلُ الحسنات وذلك لأنها كلمةُ التوحيد بها يدخُل الكافرُ في الإسلام، ولا يدخل بالتسبيح ولا بالتكبيرِ ولا بالتحميدِ ولا بغير ذلك من أنواع التّقديس لله تعالى؛ فلذلك كانت هي من أحسن الحسنات فينبغي الإكثار منها أكثر من غيرها من أنواع الذكر.

“Pengertian hadith ini bahawasanya apabila seorang itu melakukan satu kejahatan samada dosa kecil atau besar maka turutilah kejahatan itu akan satu kebaikan. Kebaikan itu ada pelbagai yang sesetengahnya dari amalan yang fardhu dan sesetengahnya ialah amalan yang sunat. Maka mana satu kebaikan dari segala bagai kebaikan yang dikerjakan seorang itu atas yang muafakat dengan apa yang datang dari Rasulullah saw maka sesungguhnya ia akan menghapuskan kejahatan-kejahatan sekadar yang dikehendaki oleh Allah.

Pada sebuah hadith menyebut bahawa ‘laa ilaha illallah’ ialah seafdhal-afdhal kebaikan. Yang demikian itu kerana ia adalah kalimah tauhid yang dengan kalimah ini masuk orang yang kafir kepada Islam dan tidak masuk ia akan Islam dengan tasbih dan tidak dengan takbir dan tidak dengan tahmid dan tidak juga dengan kalimah yang lain dari bagai-bagai ucapan memuji Allah Taala. Maka kerana yang demikian itulah ia merupakan sebaik-baik kebaikan maka sayugia membanyakkan menyebutnya dari selainnya dari bagai-bagai zikir.”

Berkata Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami:

هذا الحديث جامع لسائر أحكام الشريعة؛ إذ هي لا تخرج عن الأمر والنهي، فهو كل الإسلام؛ لأنه متضمن لما تضمنه حديث جبريل من الإيمان والإسلام والإحسان
“Hadith ini menghimpunkan bagi sekalian hukum syarak kerana tiada keluar ia dari menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan. Maka ialah keseluruhan agama Islam dari kerana ia mengandungi apa terkandung dalam hadith Jibril a.s daripada Iman, Islam dan Ihsan.” (Kitab Fathul Mubin)

Berkata Imam Munawi:

هذا الحديث من القواعد المهمة؛ لإبانته لخير الدارين، وتضمنه ما يلزم المكلف من رعاية حق الحق والخَلق، وقال بعضهم: هو جامع لجميع أحكام الشريعة؛ إذ لا يخرج عنه شيء
“Bermula hadith ini adalah sebahagian dari kaedah yang sangat penting kerana menerangkan kebaikan negeri dunia dan akhirat dan mengandungi akan perkara yang wajib atas mukallaf dengan menjaga hak makhluk. Dan kata sesetengah mereka ia mengumpulkan bagi sekalian hukum syarak kerana tiada keluar darinya suatu perkara pun.” (Kitab Faidhul Qadir)

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media