Lee Tuck akhirnya buka buka mulut


KUALA TERENGGANU: Kapten Terengganu FC (TFC), Lee Tuck akhirnya meluahkan kekecewaannya susulan penyingkiran pasukan itu di peringkat suku akhir Piala Malaysia kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu lalu.

Selepas empat hari 'mengunci' mulut, pemain berdarah campuran England-Malaysia itu berkata tindakannya mendiamkan diri bukan disebabkan prestasi TFC yang gagal mengulangi pencapaian musim lalu dengan mara ke final.

Begitupun, dia terkilan dengan mutu pengadilan pada aksi yang berlangsung di gelanggang lawan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu.

"Apa yang saya lihat pemain JDT bermain dengan bagus serta mampu mencipta peluang dengan baik sehingga menyukarkan kami untuk memecah benteng mereka dan seharusnya mereka berhak menang.

"Namun daripada sudut pengadil ada ketikanya tidak mengadili perlawanan itu dengan baik. Pengadil dilihat ada membuat beberapa kesilapan yang menyentap semangat pasukan kami.

"Sebagai contoh secara jujurnya saya tidak nampak ia sepakan penalti untuk gol pertama kerana ketika itu saya hanya memerhatikan bola, namun apabila saya menonton semula insiden itu, ia memang kelakuan agak kasar, tapi ada pengadil yang memberikan sepakan penalti dan ada pengadil sebaliknya.

"Persoalannya ialah bola tersebut tidak begitu membahayakan, kelihatan tidaklah nampak sangat pemain TFC menarik baju, namun itu keputusan pengadil, saya tidak mahu ulas dan mempertikaikan keputusan itu kerana ia sudah berlalu tapi sedikit kecewa.”

Selain Tuck, sebelum ini pengendali TFC, Mohd Nafuzi Mohd Zain juga bagaikan memendam rasa kecewa dengan mutu pengadilan Zulkarnain Zakaria yang dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan. - Berita Harian