Program Geng Masjid Pupuk Minat Anak Solat Jemaah


Oleh : Mustaqim Afandi

Kota Putera, 28 Oktober - Program Geng Masjid memupuk minat kanak-kanak untuk solat berjemaah di masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata,  semangat itu perlu dipupuk dari kecil lagi supaya ia menjadi amalan pada hari yang mendatang.

"Ini kerana dalam Islam, manusia digalakkan solat berjamaah, hidup secara berkumpulan dan bukannya berseorangan.

"Kerana manusia ini diciptakan Allah SWT dalam pelbagai rupa dan keturunan untuk bertegur sapa dan bergaul mesra," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Geng Masjid Junior di Masjid Alur Lintang pada semalam.

Oleh itu, katanya, program seperti ini amatlah sesuai bagi mengisi masa lapang sepanjang cuti sekolah bermula bulan November dan Disember.

"Setakat ini lebih 50 orang peserta telah mendaftar di Masjid Iqra Paya Rawa.

Dengan sambutan yang menggalakkan ini, insyaallah kita akan menganjurkan lagi program sebegini dengan skala lebih besar," ujar beliau.

Antara masjid yang terlibat buat permulaan ini ialah Masjid Iqra Paya Rawa, Alur Lintang, Masjid Limbongan dan Masjid Pengkalan Nyireh.


Nurkhuzaini menambah, anak merupakan anugerah Allah dan merupakan satu tanggungjawab yang diamanahkan ke atas ibu bapa.

"Pentarbiahan anak-anak dengan didikan yang baik wajib ditunaikan oleh ibu bapa atau sesiapa yang mengambil tugas mereka.

"Dan tanggungjawab ini tidak boleh dipandang sepi," kata beliau.

Kehadiran penuh selama 25 hari dalam sebulan akan diberi insentif dan hadiah yang lumayan dipenghujung program.





Sumber: teganukita.net