Suami, isteri hamil anak kembar maut dalam kemalangan

Posted on Tuesday, October 29, 2019 | 10/29/2019



Anggota polis dan isterinya yang hamil anak kembar dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Raja Laut, lapor Harian Metro. 

Motosikal yang ditunggang Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, anggota polis di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam dan isterinya, Nurul Ashikin Kamarudin, 28, merempuh belakang lori di susur keluar Jalan Syed Putra. 

Nurul Ashikin maut di tempat kejadian, manakala suaminya disahkan meninggal dunia di PPUM pada jam 10.40 pagi tadi. 

Difahamkan, pasnagan itu mempunyai seorang anak lelaki, Arfan Zikri, berusia dua tahun. 

Bedah siasat yang selesai pada jam 1 tengah hari tadi mendapati, Nurul Ashikin mengandung anak kembar dan kandungannya berusia dua bulan. 

Ahli keluarga mangsa terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu. 

Arwah Muhammad Syakiran juga mempunyai kembar yang tinggal di Bachok dan sudah berumah tangga. 

Jenazah pasangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rekang, Melawi, Bachok, Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, motosikal Yamaha 135 LC yang dinaiki pasangan itu dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori. 


"Siasatan mendapati mangsa menaiki motosikal ingin mengubah laluan ke lorong tengah. Bagaimanapun gagal mengelak lori sebelum merempuh belakang lori berkenaan," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 10/29/2019

0 comments:

Loading...