Subri Sulong idam piala bersama Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Selepas membawa skuad Piala Belia Terengganu merangkul kejuaraan musim ini, penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Subri Sulong bertekad untuk membantu pasukan Penyu meraih sekurang-kurangnya satu trofi musim depan.

Bekas pemain Terengganu dan kebangsaan itu juga mempunyai impian yang tinggi untuk membimbing anak buahnya menjadi pemain terbilang sekali gus mampu menarik minat pengendali kebangsaan menyertai pasukan negara.

Berdasarkan rekod sejak beberapa musim kebelakangan ini, tidak ada pemain dari Terengganu diserapkan dalam skuad senior kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.

"Impian saya untuk membantu ketua jurulatih membawa pasukan TFC dapat bersaing dengan pasukan elit seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang dan Kedah bagi musim 2020,” kata Subri, 40.

"Saya juga berazam untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya merangkul satu piala musim depan kerana pasukan utama Terengganu sudah lama tidak bawa pulang trofi.

"Mengasah bakat seberapa ramai pemain muda bagi memastikan mereka benar-benar berkualiti dan mampu beraksi dengan baik dalam pentas Liga Malaysia (Liga M) juga adalah menjadi impian saya."

Sebelum ini bekas pengendali skuad belia Terengganu itu dinaikkan 'pangkat' sebagai penolong jurulatih TFC bergandingan dengan Nafuzi Zain yang bertindak selaku ketua jurulatih TFC yang baharu.

"Bagaimanapun saya sedar bukan tugas mudah untuk bersaing dalam liga utama negara kerana pasukan yang bertanding mempunyai kualiti yang tersendiri," katanya yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia bersama Terengganu pada tahun 2001, Piala FA 1999 bersama Terengganu dan Pahang (2005), Liga Super bersama Pahang (2004) dan membantu negara memenangi pingat perak Sukan SEA 2001. - Berita Harian