Sumbangan Sempena Deepavali Ceriakan Penduduk Estet


Oleh: Aminji

KEMAMAN, 31 Oktober - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Estet Jabor Perasing telah berjaya menganjurkan program penyampaian sumbangan untuk penganut agama Hindu bersempena dengan perayaan Hari Deepavali.

Majlis yang berlangsung pada jam 10.00 pagi di Balairaya Taman Sri Perasing ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh  Sivakumar a/l Raman selaku Timbalan Ketua MPKK Jabor Perasing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Cikgu Ab. Razak Ibrahim telah berbesar hati menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur kepada 27 buah keluarga Hindu di estet itu.

"Majlis ini adalah bertujuan untuk menunjukkan kerajaan bersikap adil dan prihatin terhadap kebajikan setiap kaum dan turut sama meraikan perayaan yang disambut demi menjaga keharmonian kaum yang berbilang bangsa di negara ini.


"Harapan saya agar masyarakat Hindu disini dapat hidup berdaya saing, aman harmoni dan hormat - menghormati terhadap agama dan budaya masyarakat setempat," ujarnya.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran isterinya, Hajjah Nor Zaliha Othman, kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Air Putih dan Muslimat PAS DUN Air Putih.

Sumber: teganukita.net