Tujuh Beradik Yatim Piatu Sekelip Mata

Posted on Saturday, October 05, 2019 | 10/05/2019



Oleh: Ikhwann

Dungun, 5 Oktober - Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa bertembung dengan Perodua Alza di Ketengah Jaya menyebabkan tujuh beradik menjadi yatim piatu sekelip mata, semalam.

Pemandu kereta, Kamal Hisham Mustaffa, 35, dan isterinya, Norhapisah Idris, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 11.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pasangan terbabit dalam perjalanan mengambil dua anak mereka yang tinggal di asrama Sekolah Rendah Kebangsaan Pasir Raja.

“Kemalangan menyebabkan pemandu dan semua penumpang kedua-dua kenderaan tersepit.

“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan semua mangsa,” katanya.

Manakala, anak mereka yang parah di kepala, Muhammad Danish Irfan Kamal Hisham, 11, dan seorang anak angkat pasangan itu, Muhammad Danial Abdullah, 12 dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan awal mendapati kereta dipandu Kamal Hisham dari arah Ketengah Jaya ke Felda Kerteh 2, dikatakan memintas sebuah kenderaan di lokasi kejadian sebelum bertembung dengan kereta Perodua Alza.

Pemandu Alza, Mohd Zulkifli Ab Aziz, 39 bersama rakannya, Mohd Suhaimi Mat Hassan, 22, dilaporkan patah kaki.

Empat lagi anak pasangan itu berada di rumah ketika kejadian.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 10/05/2019

0 comments:

Loading...