Anak Lelaki Mengintai Sepupu Perempuan

Posted on Wednesday, November 13, 2019 | 11/13/2019



SOALAN:
Saya tinggal bersama anak lelaki saya yang sudah remaja. Kadang-kadang, anak buah perempuan saya yang berumur 12 tahun datang ke rumah untuk menginap apabila ada masalah bekalan air di rumahnya. Masalahnya, rumah kami ada satu bilik sahaja dan kebiasaannya, saya tidur di ruang tamu bersama anak buah saya, sedangkan anak lelaki saya tidur di dalam bilik. Kakak saya, yakni mak kepada anak buah saya ini ada masalah mental dan dia melarang anak perempuannya memakai tudung, termasuk ketika tidur. Sayalah yang prihatin kepada anak buah tentang sembahyang dan auratnya. Bagaimana harus saya lakukan apabila anak lelaki saya kerap curi-curi tengok anak buah saya sewaktu di rumah? Wajarkah saya menghalang anak buah saya daripada datang ke rumah saya kerana risau dengan perangai anak saya?

JAWAPAN:
Di dalam Islam, kita diwajibkan untuk menjaga maruah kita dengan mengawal nafsu syahwat daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Syarak. Inilah yang dinamakan sebagai sifat iffah. Firman Allah SWT:

وَلْيَسْتَعْفِفِ الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ يُغْنِيَهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ۗ
“Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya.” (Surah al-Nur: 33)

Berkata Imam al-Baidhawi: “Wal yasta`fif bererti berusaha bersungguh-sungguh pada menjaga iffah (kehormatan diri) dan menahan syahwat.” [Rujuk Anwar al-Tanzil (4/106)]

Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٣١﴾
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31-33)

Berkata Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti: “Allah Jalla wa `Ala memerintahkan orang-orang beriman daripada lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka. Termasuk dalam memelihara kemaluan itu ialah memeliharanya daripada melakukan zina, liwat, dan musahaqah (kelakuan lesbian), dan memeliharanya daripada membukanya kepada orang ramai atau mendedahkannya kepada mereka.” [Rujuk Adhwa’ al-Bayan (5/506)]

Apabila seorang kanak-kanak lelaki mencapai umur baligh, maka wajib ke atas ibu bapa atau penjaganya mengajarnya adab bagaimana untuk berinteraksi dengan wanita bukan mahram, sekalipun sepupunya. Ini kerana sepupu wanita adalah wanita yang boleh dikahwini maka wajib dijaga batas pergaulan supaya tidak menjadi jalan kepada zina atau apa-apa kegiatan tidak bermoral.

Antara perkara yang penting untuk diajar ialah larangan melihat lawan sejenis, sekalipun tanpa nafsu syahwat, melainkan terdapat tujuan yang dibenarkan Syarak. Sebahagian ulama' mengharuskan melihat pada bahagian yang bukan aurat seperti muka dan tapak tangan dengan syarat tanpa syahwat. Adab ini ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ الْفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَثْعَمَ، فَجَعَلَ الْفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَصْرِفُ وَجْهَ الْفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ
“Pernah suatu ketika al-Fadhl membonceng Rasulullah SAW lalu ada seorang wanita dari Khats’am datang. Al-Fadhl memerhatikan wanita itu (yang diriwayatkan sebagai cantik) dan wanita itu pun melihat ke arah al-Fadhl. Nabi SAW pun memalingkan wajah al-Fadhl ke arah lainnya.” [Riwayat al-Bukhari (1513) dan Muslim (1334)]

Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Muslim (9/98): “Dan sebahagiannya (yakni faedah-faedah daripada hadis ini) ialah pengharaman memandang kepada ajnabiyyah (wanita asing) dan faedah lainnya juga ialah menghilangkan kemungkaran dengan tangan apabila mampu.”

Dalam hadis ini kitab lihat sikap Rasulullah SAW sebagai pendidik untuk menjaga iffah para sahabat daripada terjebak kepada perkara yang haram. Sikap yang sama patut dicontohi apatah lagi dalam kehidupan berkeluarga sebagai tanggungjawab ibu bapa terhadap pendidikan akhlak dan adab anak-anak mereka.

Manakala ke atas perempuan yang sudah baligh, wajib ke atas mereka untuk menutup bahagian aurat yang ditetapkan ke atas mereka, yakni di hadapan lelaki asing; yakni seluruh badan melainkan muka dan tapak tangan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha:

أن أسماءَ بنتَ أبي بكْرِ دَخَلَت على رسولِ الله - صلَّى الله عليه وسلم - وعليها ثِيَابٌ رِقَاقٌ، فأعْرَضَ عنها رسولُ الله - صلَّى الله عليه وسلم -، وقال: "يا أسماءُ إن المرأةَ إذا بَلَغَتِ المَحِيضَ لم يضلُحْ أن يُرى مِنَها إلا هذا وهذا" وأشار إلى وجهه وكفَّيْهِ
“Sesungguhnya Asma’ binti Abu Bakar menemui Rasulullah SAW dalam keadaan berpakaian agak nipis lantas Nabi SAW berpaling daripadanya dan bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya apabila seseorang wanita telah baligh, tidak elok dirinya dipandang kecuali ini dan ini”, sambil baginda menunjuk kepada muka dan tapak tangannya.” [Riwayat Abu Daud (4104) dan al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (3128). Beliau berkata sekalipun hadis ini mursal namun pendapat ini dikuatkan dengan pendapat para sahabat seumpama Ibn Abbas, Aisyah dan Ali]

Lihatlah bagaimana kita perlu mencontohi pendidikan Rasulullah SAW seperti mana hadis di atas, sekalipun kepada remaja perempuan yang bukan anaknya sendiri, tetap diajarkan adab sebagai wanita Muslimah.

Natijah daripada penerapan nilai iffah dalam jati diri remaja lelaki dan perempuan, akan menghasilkan jiwa Mukmin yang suci lagi dipuji Allah seperti mana ayat dalam Surah al-Nur, apabila Allah SWT berfirman:

ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ
“Yang demikian itu lebih suci untuk mereka.”

Imam Fakhruddin al-Razi menghuraikan kalimah 'azka' di sini: “Kukuhnya pegangan mereka dengan arahan itu menjadikan mereka lebih suci dan bersih, kerana ini termasuk dalam bab bagaimana mereka ingin menyucikan diri dan menjadikan mereka layak untuk dipuji dan dipuji lagi. Boleh juga untuk dikatakan bahawa Allah Taala mengkhususkan kepada orang beriman kerana Dia mengkehendaki untuk menyucikan mereka dengan cara itu, sedangkan itu tidak layak bagi orang kafir.” [Rujuk Mafatih al-Ghaib (23/363)]

Demikian juga berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur berkenaan ayat yang sama: “Menguatkan penyucian itu kerana itu adalah perisai daripada melakukan dosa-dosa yang besar.” [Rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir (18/204)]

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami menjawab seperti berikut:

  • Sebaiknya puan tidak perlulah menghalang anak saudara berkenaan daripada bertandang ke rumah kerana dikhuatiri akan membawa kepada terputusnya silaturrahim antara keluarga. Sebaliknya, gunakan peluang ini untuk berdakwah dan mendidik ahli keluarga untuk mematuhi Syariat Allah secara beransur-ansur.
  • Ajarkan tanggungjawab untuk menyucikan hati kepada anak-anak dengan menundukkan pandangan dan menghormati orang lain sekalipun kesilapan itu berpunca daripada orang lain. Didiklah mereka bahawa Allah SWT sendiri memuji di dalam al-Quran mereka yang menjaga kehormatan diri termasuk pandangan sebagai orang berjaya.
  • Gunakan peluang untuk mendidik anak saudara yang sudah baligh tentang kepentingan menutup aurat dan kesannya kepada keperibadian seorang Mukmin. Adapun tentang larangan oleh ibunya untuk tidak memakai tudung, maka larangan itu tidak boleh diikuti kerana bertentangan dengan hukum Syarak.
  • Alangkah baiknya jika boleh dipertimbangkan memandangkan tetamu datang hanya sekali sekala, agar diberikan bilik itu sebagai tempat tidur ahli keluarga perempuan. Dengan itu, aurat mereka lebih terpelihara sama ada sewaktu jaga atau waktu tidur.

Semoga cadangan-cadangan ini memberikan manfaat kepada penanya. Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar diberikan hidayah dan taufiq dalam melaksanakan Syariat dalam kehidupan sehari-hari. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 11/13/2019

0 comments:

Loading...