Benarkah Bulu Dan Kuku Yang Dipotong Perlu Ditanam?

Posted on Monday, November 11, 2019 | 11/11/2019



SOALAN:
Benarkah kuku atau bulu yang telah dipotong perlu ditanam?

JAWAPAN:
Kami mulakan dengan hadis, di mana Rasulullah SAW bersabda:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ ـ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ ـ الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
“Fitrah itu ada lima –atau lima perkara yang menjadi fitrah– adalah berkhatan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, dan memotong misai.” [Riwayat al-Bukhari (5550) dan Muslim (257)]

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut bahawa bilangan yang disebutkan itu tidak terbatas sebanyak itu sahaja, kerana datang dalam hadis lain bilangan yang lain. (Lihat Fath al-Bari, 10/337)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan Imam Nawawi yang menyebut: “Sunat menanam dan menimbus di dalam tanah segala rambut serta kuku yang dipotong sebagaimana diriwayatkan perbuatan tersebut dilakukan oleh Ibn Umar dan disepakati oleh para ulama' mazhab kami.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/212)

Beliau juga berkata: “Al-Mutawalli menukilkan adalah dipersetujui bahawa anggota yang terpisah itu tidak perlu dimandi dan disembahyangkan.” Katanya: “Tiada perselisihan bahawa tangan yang dipotong kerana hukuman mencuri dan qisas tidak wajib dimandi dan disembahyangkan. Memadai dengan hanya dibalut dengan secebis kain dan ditanam. Begitu juga dengan kuku dan rambut yang dipotong daripada orang yang masih hidup. Maka ia tidak perlu disembahyang, tetapi sunat ditanam.” (Lihat al-Majmu’, 5/212)

Imam Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan: “Dan disunatkan menanam apa yang dipotong daripada rambut, kuku dan darah.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/476)

Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: “Disunatkan menanam rambut sebagai penghormatan kepadanya.” (Lihat Asna al-Matalib, 6/232)

Ibn Qudamah al-Maqdisi pula menyebut: “Disunatkan menanam kuku yang dipotong dan juga rambut berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya daripada Mil binti Misyrah al-Ash’ariyyah, katanya: “Aku melihat ayahku memotong kukunya dan menanamnya, dan dia berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW melakukan demikian.” (Lihat al-Mughni, 1/146)

Hadis yang dimaksudkan, yang diriwayatkan daripada Mil binti Misyrah al-Ash’ariyyah, adalah sepertimana berikut:

رَأَيْتُ أَبِي يُقَلِّمُ أَظْفَارَهُ، وَيَدْفِنُهُ وَيَقُول: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَل ذَلِكَ
“Aku lihat bapaku memotong kuku kemudian menanamnya dan berkata: “Beginilah yang aku lihat Nabi SAW perbuat.” [Riwayat Ibn Abi Qasim, Ibn al-Sakan dan lain-lain. Sanadnya adalah sangat lemah (dha’if jiddan). Inilah sepertimana yang disebut dalam kitab al-Isabah (3/421) oleh Ibn Hajar]

Kesimpulan

Kuku dan rambut adalah sejuzuk daripada anggota badan yang sentiasa tumbuh dan panjang. Justeru, sunat bagi kita memotongnya kerana ia termasuk dalam sunnah.

Adapun kuku atau rambut yang sudah dipotong berdasarkan kepada qiyas anggota yang lain yang sunat kita tanam, maka begitulah kedua-duanya juga baik untuk ditanam. Kami cenderung kepada pendapat ini kerana ia lebih menepati anjuran Islam agar menjaga kebersihan persekitaran di samping mengelakkan kemungkinan penggunaan bahan-bahan tersebut disalahgunakan untuk tujuan-tujuan seperti perbuatan jahat sihir, menyambung rambut dan lain-lain.

Sebaiknya kita merujuk kepada sunnah Rasulullah SAW dan juga salafus soleh yang menanam kuku dan rambut. Justeru itulah yang sebaiknya sama ada sebahagian hikmah kita dapat memahaminya atau yang lain kita tidak mengetahuinya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman dalam agama untuk mengikutinya dengan sebaik mungkin. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 11/11/2019

0 comments:

Loading...