Cara Pembayaran Nazar Dan Kaffarah Sumpah Oleh Waris Si Mati

Posted on Wednesday, November 27, 2019 | 11/27/2019



SOALAN:
Suami saya telah meninggal dunia dan sebelum meninggal arwah mempunyai nazar iaitu berpuasa selama 6 hari. Namun ajal telah menjemputnya sebelum dia sempat melunaskan nazar tersebut. Oleh itu bagaimana cara pengiraan pembayaran nazar arwah suami saya? Soalan kedua, suami saya telah melanggar sumpah berkali-kali, jadi bagaimana cara pembayaran kafarah sumpah ini? Adakah setiap sumpah atau sekaligus? Tetapi saya juga kurang pasti berapa sumpah tersebut.

JAWAPAN:
Nazar merupakan janji manusia kepada Allah SWT bagi tujuan mendekatkan diri kepada pencipta-Nya. Apabila sempurna syarat dan rukunnya maka wajib melaksanakannya. Firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
“Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.” (Surah al-Hajj: 29)

Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 3/26).

Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin al-Husain R.A, sabda Baginda SAW:

لاَ نَذْرَ فِي مَعْصِيَةٍ
“Tidak ada Nazar dalam perkara kemaksiatan kepada Allah SWT.” [Sunan Ibnu Majah (2124)]

Nazar Puasa

Wajib bagi seseorang yang bernazar menunaikan apa yang di nazarkan berdasarkan apa yang disebut ketika bernazar dengan berlandaskan syarak.

Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “Apabila seseorang itu bernazar puasa sepertimana yang diucapkan contohnya “demi Allah aku akan berpuasa” atau “aku akan berpuasa pada hari berikut dan berikut” maka wajib dia menunaikan puasanya seperti yang dinazarkan. Dan begitu juga kalau dia bernazar dengan berpuasa sama ada bilangan hari ataupun nama hari yang ditetapkan.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/512)

Berkenaan dengan persoalan di atas, sekiranya seseorang yang bernazar tidak sempat menunaikan nazarnya maka waris si mati di tuntut untuk menunaikannya. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A:

وَإِنْ كَانَ عَلَيْهِ نَذْرٌ قَضَى عَنْهُ وَلِيُّهُ
“Dan sekiranya dia (si mati) terdapat ke atasnya kewajipan nazar, maka dituntut qadha daripadanya akan walinya.” [Sunan Abi Daud (2401)]

Mengikut pandangan mazhab Syafi’e, sesiapa yang meninggal dunia dan nazar puasanya masih belum ditunaikan maka walinya dituntut untuk menunaikannya. Sama ada dia meninggalkan wasiat ataupun tidak. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/217)

Selain itu, Imam al-Dumyati di dalam kitabnya menyatakan: “Waris si mati tidak menggantikan puasa nazar, maka dibenarkan untuk membayar setiap satu hari puasa nazar dengan satu mud makanan.” (Lihat I’anah al-Tolibin,2/275)

Sumpah (al-Yamin)

Sumpah dari segi istilah syarak bermaksud sesuatu lafaz yang menguatkan sesuatu perkara dengan disabitkan menyebut bersamanya nama Allah SWT atau sifat-Nya dengan lafaz yang khusus. (Lihat: al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/522)

Dan di antara dalil pensyariatannya seperti firman Allah SWT:

وَلَا تَجْعَلُوا اللَّـهَ عُرْضَةً لِّأَيْمَانِكُمْ أَن تَبَرُّوا وَتَتَّقُوا وَتُصْلِحُوا بَيْنَ النَّاسِ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 224)

Di antara syarat- syarat yang di tetapkan supaya dikenakan kaffarah adalah sumpah yang didatangkan dengan lafaz nama Allah SWT atau sifat-Nya. Sekiranya sebaliknya maka sumpah itu tidak dikenakan kaffarah.

Ini sepertimana yang disebut oleh Dr Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya: “Dan sekiranya berkata “aku bersumpah atau aku berazam untuk melakukan itu dan ini” tanpa menyebut nama Allah SWT, tidak dikira sebagai sumpah (al-Yamin) walaupun berniat sumpah. Ini kerana sumpah (al-Yamin) tidak dikira melainkan menyebut nama Allah atau sifat-Nya untuk mengukuhkan sumpahnya.” (Lihat: al-Mu’tamad fu al-Fiqh al-Syafi’e, 2/533)

Kaffarah Sumpah

Untuk dikenakan kaffarah mestilah memenuhi segala rukun serta syarat-syaratnya. Dan sekiranya sempurna segalanya maka wajib dikenakan kaffarah sepertimana Firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah -peliharalah- sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah: 89)

Kesimpulan

Berdasar kepada soalan di atas, hal berkenaan dengan puasa nazar ke atas wakil si mati, dia boleh memilih sama ada ingin menunaikannya dengan berpuasa mengikut bilangan hari atau dengan membayar fidyah sebanyak satu mud bersamaan dengan satu hari. Ini seperti mana yang di nyatakan oleh Imam al-Dumyati di dalam kitabnya: “Waris si mati tidak menggantikan puasa nazar, maka dibenarkan untuk membayar setiap satu hari puasa nazar dengan satu mud makanan.” (Lihat: I’anah al-Tolibin,2/275)

Adapun berkenaan dengan kaffarah sumpah orang yang meninggal, sekiranya tidak pasti berapa bilangannya, maka warisnya dituntut membayar kaffarahnya dengan kadar yang minima menggunakan harta peninggalan si mati. Ini seperti yang disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya: “Barangsiapa yang telah meninggal dunia dan meninggalkan tanggungan kaffarah, maka dituntut untuk membayarnya daripada harta warisannya dengan kadar yang paling ringan.” (Lihat: Mughni al-Muhtaj, 9/193)

Oleh itu, sebaiknya memperbanyakan bersedekah dan mendoakan keampunan daripada Allah SWT. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A Sabda Nabi SAW:

إن الله وضع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه
“Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan umatku yang melakukan kesalahan dan terlupa serta apa yang terpaksa ke atasnya.” [Sunan Ibnu Majah (2045)]

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 11/27/2019

0 comments:

Loading...