Ibu bapa gagal halang anak terlibat aktiviti basikal lajak boleh didenda RM20,000, penjara 5 tahun

Posted on Monday, November 04, 2019 | 11/04/2019



Ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias

Beliau berkata pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa berkenaan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

"Tindakan ini boleh diambil ke atas ibu bapa atau penjaga sekiranya gagal dalam tanggungjawab memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam kegiatan basikal lajak yang membahayakan.

"Seksyen itu memperuntukkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan untuk ibu bapa atau penjaga membiarkan anak-anak tanpa pengawasan yang berpatutan di mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam sidang akhbar isu 'Basikal Lajak' di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Azisman berkata setakat ini tindakan penguatkuasaan hanya dilaksanakan melalui rampasan dan sitaan basikal serta pengeluaran saman kepada penunggang basikal lajak berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang.

"Berdasarkan undang-undang Kaedah 35(2) dan Kaedah 35(3) LN165/59, setiap basikal ditunggang perlu dipasang lampu di hadapan dan belakang bagi menunjukkan cahaya putih serta merah boleh dilihat dalam jarak munsabah.

"Sementara itu menerusi Kaedah 42(1) LN165/59, tiada seorang pun boleh menunggang basikal di atas jalan melainkan dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua-dua tayar dan loceng," katanya.

Beliau berkata tangkapan dan sitaan boleh dilakukan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan penunggang basikal lajak ditangkap tanpa waran seperti diperuntukan Seksyen 112(1)(a) akta sama.

"Tindakan menangkap penuggang basikal lajak bagaimanapun tidak boleh diambil daripada segi undang-undang terhadap anak-anak yang terbabit merujuk kepada Seksyen 82 Kanun Keseksaan iaitu tidak menjadi kesalahan apa jua dilakukan anak-anak berusia kurang 10 tahun," katanya.

Pada 1 Nov lepas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mencari pendekatan baharu bagi menangani isu basikal lajak yang semakin berleluasa di negara ini.

Dalam pada itu, ketua pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata JPJ secara dasarnya mempunyai peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 yang memberikan kuasa kepadanya untuk menilai isu itu sebelum sebarang tindakan diambil.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 11/04/2019

0 comments:

Loading...