JHEAT Keluar 62 Kompaun Kesalahan Syariah Dalam Operasi Bersepadu

Posted on Friday, November 08, 2019 | 11/08/2019


Pegawai JHEAT merekodkan maklumat pasangan yang dikompaun dalam sekatan jalanraya syariah, semalam.



KUALA TERENGGANU, 8 November- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu mengeluarkan sebanyak 62 kompaun bagi kesalahan syariah dalam operasi sekatan jalan raya syariah, malam tadi.

Pegawai agama daerah, Azmi Tengah memaklumkan operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Terengganu itu diadakan di dua lokasi berasingan iaitu laluan masuk Pulau Warisan dan laluan Pantai Batu Buruk.

"Sehingga jam 11.00 malam, kita telah mengeluarkan kompaun kepada 21 pasangan (42  individu) di sini dan 10 pasangan (20 individu) di kawasan Batu Buruk.
JPJ dan JHEAT lancar operasi bersepadu untuk lebih praktikal.

"Kompaun dikeluarkan berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001, di bawah Seksyen 34 iaitu perbuatan tidak sopan di tempat awam dan Seksyen 35; mendedahkan tubuh di tempat awam," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi di Pulau Warisan, semalam.

Seramai 42 kakitangan JHEAT dan 16 anggota JPJ terlibat dalam operasi sekatan jalanraya syariah, kali kedua dilaksanakan tahun ini.

Menurut Azmi, jika sabit kesalahan, Seksyen 35 memperuntukkan denda sebanyak RM 1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Manakala, bagi Seksyen 34, denda sebanyak RM 1,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya boleh dikenakan.

"Kita akan siapkan kertas siasatan dan panjangkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah untuk tindakan lanjut.

"Biasanya pesalah akan dikenakan denda, dan bagi pasangan yang perlu kepada cegahan, kita akan berikan amaran untuk tidak mengulanginya," katanya.

Operasi yang berjalan kira-kira tiga jam itu menyasarkan penunggang motosikal yang bukan mahram dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Dalam perkembangan sama, Azruden Ab Hamid, Ketua Unit Operasi JPJ KT memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 61 notis saman (P22), satu kes Larangan Penggunaan Kenderaan (PG(1)), dua kes sita (64(1)) dan satu Arahan Periksa Kenderaan (61(1)) dengan jumlah 325 motosikal diperiksa.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 11/08/2019

0 comments:

Loading...