Kandungan Netflix perlu ditapis kerana ia boleh beri kesan negatif kepada generasi masa depan - Finas


Platform penstriman Netflix semakin mendapat tempat di kalangan pengguna di negara ini yang gemar menonton pelbagai genre cerita atau filem baru dengan kadar bayaran yang berpatutan. 

Namun begitu, golongan ibu bapa menyuarakan kebimbangan mereka berhubung isi kandungan program Netflix yang banyak memaparkan adegan atau aksi yang tidak sepatutnya yang dipercayai boleh mempengaruhi penonton di bawah usia. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, kebimbangan golongan ibu bapa itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi kesan terhadap generasi masa depan. 

Beliau berkata, walaupun penapisan bukan di bawah bidang kuasa FINAS, pihaknya memandang serius perkara itu. 

"Negara ini mengambil pendekatan mengawal kandungan filem dan rancangan televisyen tempatan, tetapi pada peringkat antarabangsa masih lagi terbuka. 

"Itu semua akan memberi risiko terhadap pembangunan minda anak-anak. Jika usaha itu tidak dilakukan dari sekarang, akhirnya ia tidak akan ke mana," katanya yang juga memaklumkan kebimbangan mengenai isi kandungan Netflix pernah disuarakan sebelum ini tetapi tiada tindakan. 

Justeru, pihak Finas akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya mengawal isi kandungan program Netflix. 

Sementara itu, para pengguna Netflix meluahkan rasa tidak puas hati dengan berita tersebut dan menyifatkan pihak berkenaan gemar menyalah pihak lain di atas punca masalah sosial yang berlaku di kalangan kanak-kanak atau remaja berbanding mengambil pendekatan untuk mendidik anak-anak bermulanya dari rumah. 



Bagi pengguna Netflix, ibu bapa sepatutnya tahu bahawa mereka boleh mengawal kandungan yang berunsur dewasa itu dari ditonton oleh anak-anak dengna membuat tetapan 'parental control' di bahagian setting aplikasi tersebut. 



Sumber : thereporter.my