Kerajaan digesa kenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan & kematian

Posted on Monday, November 25, 2019 | 11/25/2019



Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) menggesa kerajaan mengkaji semula Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk menetapkan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan. 

Pengerusi PPJK, Mohammad Hisham Shafie berkata, gesaan itu dibuat susulan kekerapan berlakunya kes pemandu mabuk terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian mereka yang tidak bersalah, selain kes yang membabitkan pemandu mabuk semakin meningkat. 

"Kami dapati ia seperti sudah dianggap biasa. Daripada 10 kemalangan, dua atau tiga dikesan membabitkan pemandu mabuk dan ini tidak seharusnya berlaku. 

"Bagaimana pemandu mabuk dikenakan hukuman penjara mandatori antara tiga hingga 10 tahun dan denda RM8,000 hingga RM20,000, sedangkan di satu pihak lagi kehilangan nyawa. 

"Jadi, PPJK mengesyorkan sesuatu perlu dilakukan, tidak memadai hanya dengan kempen kesedaran yang tidak mendatangkan sebarang kesan kepada pemandu. 

"Kita perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan jangan biarkan ia berterusan," katanya. 

Sumber: Harian Metro



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 11/25/2019

0 comments:

Loading...