Manusia Yang Meruntuhkan Kaabah

Posted on Tuesday, November 05, 2019 | 11/05/2019



SOALAN:
Apakah benar Kaabah akan dirobohkan oleh manusia yang mempunyai betis yang kecil?

JAWAPAN:
Baitullah atau Kaabah merupakan kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia dan Allah SWT menyandarkan nama-Nya pada Kaabah menunjukkan akan keagungan, kemuliaan serta kebesarannya berbanding makhluk Allah SWT yang lain.

Firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ
“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali Imran: 96)

Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith sahih yang berstatus muttafaqun ‘alaih (diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim) bahawa Kaabah akan dimusnahkan oleh orang Habsyah. Tambahan pula, Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith tersebut di dalam Bab Keruntuhan Kaabah.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

يُخَرِّبُ الكَعْبَةَ ذُو السُّوَيْقَتَيْنِ مِنَ الحَبَشَةِ
“Kaabah akan dimusnahkan oleh Dzu al-Suwaqatain (seseorang yang mempunyai dua betis yang kecil) dari Habsyah.” [Riwayat al-Bukhari (1596)]

Imam al-Nawawi memberi maksud Dzu al-Suwaqatain di dalam hadith ini, ia adalah isim tasghir bagi dua betis disebabkan halus atau kecilnya betis tersebut dan ia juga menggambarkan sifat betis orang Sudan kebiasaannya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 18/35]

Di dalam riwayat lain, Nabi SAW ada menggambarkan sifat orang yang akan memusnahkan Kaabah ini apabila Baginda SAW menceritakan kepada para sahabatnya;

Daripada Ibn Abbas R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَأَنِّي بِهِ أَسْوَدَ أَفْحَجَ، يَقْلَعُهَا حَجَرًا حَجَرًا
“Seakan-akan aku melihatnya seorang yang berkulit hitam dan jauh jarak di antara dua kakinya yang menanggalkan satu per satu batu daripada Kaabah.” [Riwayat al-Bukhari (1595)]

Antara perkara yang menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama’ adalah bilakah peristiwa ini akan berlaku. Di sini kami ingin menukilkan pandangan Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam masalah ini.

وَأُجِيبَ بِأَنَّ ذَلِكَ مَحْمُولٌ عَلَى أَنَّهُ يَقَعُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ قُرْبَ قِيَامِ السَّاعَةِ حَيْثُ لَا يَبْقَى فِي الْأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ اللَّهُ اللَّهُ كَمَا ثَبَتَ فِي صَحِيحِ مُسْلِمٍ
“Aku menjawab permasahan ini dengan mengatakan bahawa ia berlaku di akhir zaman apabila hampir berlakunya Kiamat dan ketika itu tidak tersisa lagi di atas muka bumi ini seseorang yang menyebut: Allah ! Allah! Sebagaimana yang tsabit di dalam Sahih Muslim.” [Lihat: Fath al-Bari, 3/461]

Ini juga merupakan pandangan Syeikh Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al Wabil di dalam kitabnya bahawa peristiwa runtuhnya Kaabah berlaku di akhir zaman apabila hampir berlakunya Kiamat. [Lihat: Ashrat al-Sa’ah, 203]

Menurut Dr. Syarah al-Qudhoh bahawa peristiwa ini akan berlaku apabila roh-roh orang yang beriman kesemuanya telah dicabut dengan kedatangan angin yang baik beberapa ketika sebelum berlakunya Kiamat. [Lihat: Kharitoh al-Mustaqbal, 29]

Imam Ibn Hajar berkata: “Berdasarkan banyak riwayat dapat difahami bahawa setelah Kaabah dimusnahkan oleh orang Habsyah, maka akan datangnya orang Qahtan lalu memusnahkan mereka.” [Lihat: Fath al-Bari, 13/78]

Selain itu juga, persoalan lain yang biasanya timbul adalah tidakkah Allah SWT berjanji di dalam al-Quran bahawa Dia akan menjaga atau memelihara Kaabah? Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النَّاسُ مِنْ حَوْلِهِمْ ۚ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَكْفُرُونَ
“Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah) tanah suci yang dihormati, lagi aman sedang orang-orang ramai yang tinggal di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh)? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?” (Al-Ankabut: 67)

Imam al-Nawawi telah menjawab persoalan ini ketika mensyarahkan hadith Dzu al-Suwaqatain ini dengan berkata:

ولايعارض هذا قوله تعالى حرما آمنا لِأَنَّ مَعْنَاهُ آمِنًا إِلَى قُرْبِ الْقِيَامَةِ وَخَرَابِ الدُّنْيَا
“Hadith ini (hadith berkaitan Kaabah akan dimusnahkan) tidak bercanggah sama sekali dengan firman Allah SWT bahawa Allah akan memelihara keamanan (tanah Haram). Ini kerana, keamanan tersebut akan terus dipelihara oleh Allah SWT sehingga hampirnya berlaku Kiamat dan banyaknya kerosakan di atas muka bumi ini.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 18/35]

Melihat kepada jawapan daripada Imam al-Nawawi ini, jelaslah kepada kita bahawa maksud Allah SWT memelihara Kaabah adalah Allah akan memeliharanya sehingga hampir kepada berlakunya Kiamat. Pada ketika itu, Allah SWT tidak lagi menjaga Kaabah dan disebabkan itu orang-orang Habsyah tersebut mampu untuk menghancurkan Kaabah. Tambahan pula, pada waktu itu tidak ada lagi orang-orang beriman yang masih hidup dan Kaabah tidak lagi diimarahkan.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثُمَّ تَأْتِي الْحَبَشَةُ فَيُخَرِّبُونَهُ خَرَابًا لَا يَعْمُرُ بَعْدَهُ أَبَدًا، وَهُمُ الَّذِينَ يَسْتَخْرِجُونَ كَنْزَهُ
“Kemudian datang orang Habsyah lalu menghancurkan Kaabah dengan sehancur-hancurnya. Setelah itu, Kaabah tidak lagi diimarahkan dan mereka (orang Habsyah) yang akan mengeluarkan harta yang tersimpan daripadanya.” [Riwayat Ahmad (8619), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih dan perawi-perawinya adalah tsiqah]

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang membicarakan berkaitan kemusnahan Kaabah yang akan berlaku di akhir zaman adalah hadith yang sahih dan ia akan dimusnahkan oleh orang-orang Habsyah yang mana Nabi SAW sifatkan mereka dengan orang yang berkulit hitam dan kecil kedua betisnya. Akhirnya, semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua daripada fitnah-fitnah yang berlaku di akhir zaman ini serta sentiasa memelihara keimanan yang ada di dalam diri kita. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 11/05/2019

0 comments:

Loading...