Masjid Jamek Chukai Bantu Golongan Asnaf


Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 24 November - Jawatankuasa Masjid Jamek Chukai telah menganjurkan Program Almari Kebajikan Bantuan Asnaf kelmarin bagi membantu meringankan beban golongan fakir miskin.

Seramai 70 orang golongan asnaf yang tinggal di Kampung Tengah Chukai menerima bantuan berbentuk barangan dapur seperti beras, gula, maggi, minyak masak, kicap, teh serta bihun.

Pengerusinya, Husin Ibrahim berkata, ini adalah salah satu usaha bagi membantu mereka di mana beberapa kampung yang berhampiran dengan masjid itu mempunyai ramai golongan fakir miskin.

"Jadi tergerak hati kami untuk mengadakan program seperti mana yang telah berlangsung pada hari ini.


"Saya berharap agar masyarakat di sekeliling yang berkemampuan lebih prihatin dan sedar bahawa masih ramai golongan yang tidak bernasib baik perlu dibantu bagi meringankan beban yang dihadapi mereka," tambahnya lagi.

Beliau yang baru menjalankan tugas sebagai Pengerusi Masjid selama hampir dua bulan selepas pelantikan jawatankuasa bagi sesi yang baharu berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Turut hadir meraikan, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat.


Difahamkan jawatankuasa masjid akan mengadakan program seumpama itu bersama dengan penduduk Kampung Dusun Nyior, bulan seterusnya bersama Kampung Jakar dan begitulah akan dibuat setiap bulan mengikut giliran kampung.

Sumber: teganukita.net