Memang tugas berat untuk melepaskan dan cari pengganti


Kuala Terengganu : Skuad Terengganu FC (TFC) mengumumkan penyerang importnya, Kipre Tchetche, antara 12 pemain yang tidak akan bersama pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia, musim depan.

Tonggak kelahiran Ivory Coast itu sebelum ini menolak tawaran kontrak baru dan berdasarkan kenyataan hari ini, TFC dijangka membuat rombakan di posisi serangan.

Ini kerana selain Tchetche, pemain sayap, Malik Mat Ariff, Nabil Ahmad Latpi, Shahrul Aizad Zulkifli, Ahmad Syamim Yahya dan Khairul Izuan Rosli pula sah dibebaskan.

Turut senasib adalah pemain tengah, Thierry Chantha Bin, Khairu Azrin Khazali, bek kiri, Adib Aizuddin, Khairul Anwar Shahrudin, Hasni Zaidi Jamian serta penjaga gol, Wan Muhamad Azraei Wan Teh.

Dalam kenyataan penghargaan dikeluarkan TFC, turut dibayangkan adalah beberapa perubahan dalam barisan kejurulatihan melibatkan pembantu Mohd Nafuzi Zain.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim, mengakui tugas berat mengisi kekosongan Tchetche.

Menyifatkan pemain lincah itu sebagai penyerang terbaik pernah bersama TFC, Hishamuddin berharap Nafuzi dapat menjumpai pemain dengan naluri pemusnah.

Berita mengaitkan TFC dengan penyerang dalam Liga Vietnam begitupun enggan diulas lebih lanjut dengan Hishamuddin berkata semuanya terletak di tangan ketua jurulatih.

"Tidak dinafikan Tchetche antara yang berkualiti dan seperti penyokong, saya juga mahukan penyerang setanding atau lebih baik lagi.

"Seperti saya sering maklumkan, pihak pengurusan tidak akan mencampuri urusan pemilihan pemain," tambahnya lagi. - Astro Arena