Mengapa Dr P Ramasamy Tidak Didakwa?

Dato' Dr Mohd Khairuddin (kiri) ketika menziarah pesakit di Kuala Nerus baru-baru ini.

KUALA NERUS, 2 November - Kerajaan didakwa membuat pendakwaan terpilih terhadap pemimpinnya yang terbabit dengan aktiviti menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali  berkata, beliau menyambut baik dakwaan yang dikenakan ke atas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, G Saminathan, P Gunasekaran dan 10 yang lain atas pertuduhan tersebut. 

Katanya, tuduhan utama ke atas dua ADUN DAP ini adalah kerana  memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis “Heroes Day” bagi memperingati pejuang-pejuang LTTE di Taman Ayer Keroh Heights Melaka, 28 November 2018.

"Tuduhan ini menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai mengapa kerajaan seolah-olah mengamalkan pendakwaan terpilih kerana individu lain yang berjawatan lebih tinggi turut terbabit dalam majlis “Heroes Day” tetapi tidak didakwa.

"Individu seperti Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, pernah mengakui secara terbuka dalam Facebook beliau juga melibatkan diri dalam majlis “Heroes Day” di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan media.

Sebagai contoh, tambahnya, dalam satu muatnaik pada 27 November 2015, Dr  P Ramasamy memuatnaik secara terbuka dalam Facebook beliau gambar-gambar penglibatannya dalam majlis “Heroes Day” di Pusat Khidmat DAP Perai, Pulau Pinang.

Katanya, bagi memastikan keadilan dilihat terlaksana, sepertimana dua ADUN DAP itu didakwa,  Dr P Ramasamy juga perlu didakwa kerana terlibat dalam majlis tersebut.

"Apatah lagi bila majlis “Heroes Day” yang Dr P Ramasamy hadiri itu adalah dibuat di Pusat Khidmat DAP maka pastilah ia melibatkan DAP sendiri," ujarnya.


Sumber: teganukita.net