Berkhatan Di Musim Tengkujuh Meriah


Oleh: Aminji

KEMAMAN, 5 Disember - Kemeriahan dirasai apabila seramai 30 orang peserta kanak-kanak di Perasing Jaya telah selamat dikhatankan baru-baru ini sempena Program Berkhatan yang berjalan dalam suasana cuti persekolahan dan musim tengkujuh.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perasing Jaya, Norazman Yusof berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan dari kalangan kanak-kanak yang berusia seawal tujuh hingga 11 tahun dan bayarannya adalah percuma.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi itu turut dimeriahkan dengan perarakan bunga manggar dan pulut kuning oleh para peserta dan ibu bapa serta diiringi selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Jak berbangga dengan semangat para peserta dalam menyempurnakan tuntutan syariat Islam tersebut.

“Program seperti ini wajar diadakan setiap tahun dan diperluaskan lagi memandangkan masyarakat bukan Islam juga kini mulai sedar akan manfaat berkhatan ini dalam aspek kebersihan dan kesihatan,” ujar beliau sewaktu majlis penutup.

Majlis yang dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS DUN Air Putih, Ustaz Ahmad Dasuki Tahir telah diserikan lagi dengan upacara suapan pulut kuning kepada para peserta oleh beliau sendiri.

Bertambah meriah apabila pelancaran gimik mandi bersiram kepada para peserta sedikit sebanyak berjaya menceriakan hati para peserta yang sedang gundah gelana menghitung detik untuk dikhatankan.

Gimik itu turut mendapat kerjasama daripada anggota Bomba dan Penyelamat Cheneh. Acara berkhatan dilakukan secara serentak di mana seramai 5 orang peserta dikhatankan pada masa yang sama.

Kesemua mereka masing-masing mempamerkan riak wajah yang berbeza. Kebanyakannya menyeringai menahan kesakitan dan tidak kurang juga yang tersenyum kelegaan.


Program diakhiri dengan jamuan tengahari bersama penduduk setempat sebelum bersurai sekitar jam 1.30 petang.

Sumber: teganukita.net