Jangan Tunggu Cemas Baru Pindah - ADUN Kemasik

Ir Saiful Azmi (kanan) meninjau keadaan beberapa keluarga yang berisiko terdedah banjir semalam. Foto - Ahmad Syahid Adnan
Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 3 Disember - Beberapa keluarga di kawasan rendah di Kampung Batu Putih, Kertih di sini dinasihatkan supaya membuat persiapan awal menghadapi kemungkinan berlakunya banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, kegagalan penduduk membuat persiapan awal akan terdedah kepada kejadian tidak diingini.

“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah di Balai Raya Kampung Batu Putih telah mula diperkemaskan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  sudah mula menempatkan bekalan bantuan bencana di pengkalan hadapan di masjid kampung ini sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh ini.

“Lebih utama jaga keselamatan anak-anak supaya tidak bermain air banjir kerana arus deras boleh membahayakan,” ujar beliau.

Menurut Ir Saiful Azmi lagi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari beberapa kawasan berisiko banjir telah mengikuti kursus persediaan menghadapi bencana dan telah dilatih dari segi persediaan mental dan fizikal.

“Kita sudah mengambil langkah awal bagi melakukan segala persiapan itu supaya tidak timbul halangan apabila berlaku banjir,” katanya lagi.

Beliau hadir menziarahi beberapa keluarga yang berisiko terdedah kepada bahaya banjir dan perlu berpindah ke PPS sekiranya hujan berterusan di kampung berkenaan, pada pagi semalam.

Sumber: teganukita.net