Hukum Menggunakan Aplikasi Bigo Live Bagi Menjana Pendapatan

Posted on Thursday, January 16, 2020 | 1/16/2020



SOALAN:
“Apakah hukum menggunakan applikasi BIGO Live untuk menjana pendapatan. Aplikasi tersebut berfungsi di mana pengguna hanya perlu live dengan bersembang kosong sesama lelaki atau perempuan serta melakukan aksi yang menghiburkan seperti menari dan sebagainya untuk menarik follower. Adakah berkat wang tersebut?

JAWAPAN:
BIGO Live merupakan satu aplikasi yang disediakan oleh Artificial Intelligence (AI) technology yang bertempat di Singapura bermula pada tahun 2014. Di antara produk yang dikeluarkan oleh syarikat ini termasuk Bigo Live, Likee dan Imo. Terdapat lebih 300 juta pengguna yang aktif pada 150 negara yang menggunakan aplikasi yang dikeluarkan oleh syarikat ini.
[Lihat: https://www.bigo.sg/about]

Berpandukan persoalan di atas, kami mulakan dengan satu kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Imam Suyuti di dalam kitabnya:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
“Hukum asal bagi sesuatu perkara ialah keharusan sehingga ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman.” (Lihat: Al-Ashbah wa al-Nazair li Suyuti, 1/60)

Berpandukan dengan kaedah ini, hukum sesuatu perkara pada asalnya adalah diharuskan. Melainkan sekiranya terdapat padanya dalil atau sesuatu perkara yang membawa kepada haram maka ia adalah diharamkan.

Begitu juga dengan amalan dan perbuatan seseorang itu bergantung kepada niat serta tujuannya. Sekiranya baik tujuannya dan niatnya, maka baiklah perbuatannya. Ini seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Umar al-Khattab, sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى
“Setiap amalan itu dinilai berdasarkan niat. Setiap orang akan dibalas bedasarkan niatnya.” [Riwayat Muslim (1907)]

Imam Nawawi di dalam syarahnya menyatakan bahawa hadith di atas mempunyai pelbagai faedah seperti yang dinyatakan Imam al-Syafi’e dan para fuqaha’ yang lain, mereka berpendapat hadith ini merupakan satu per tiga daripada agama Islam. Imam al-Syafi’e menyatakan terdapat lebih kurang tujuh puluh perbahasan ilmu fiqh di dalamnya. (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 13/53)

Berdasarkan hadith di atas, terdapat pelbagai kaedah fiqh yang berkaitan dengannya. Imam Taqiyuddin al-Subki menukilkan di dalam kitabnya satu kaedah:

الأمور بمقاصدها
“Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat: Al-Ashbah wa al-Nazair li Subki, 1/54)

Oleh itu, niat dan tujuan perbuatan seseorang itu akan menunjukkan kepada hukum syariat sama ada halal atau haram perbuatannya. Sekiranya sesuatu perbuatan itu bertujuan kepada kebaikan maka halal perbuatannya itu.

Begitu juga sebaliknya, Allah SWT melarang hamba-Nya untuk melakukan perkara yang diharamkan syara’ serta mendekatkan diri kepadanya. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
“Janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi.” (Surah al-An’am: 151)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan dan perbahasan dalil yang diberikan, kami berpendapat sekiranya penggunaan aplikasi Bigo Live bertujuan untuk memberi manfaat dan kebaikan kepada agama dan masyarakat serta bertujuan menyebarkan dakwah adalah digalakkan. Dan boleh mengambil manfaat daripada pendapatan yang diperolehi daripadanya.

Namun sekiranya penggunaan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan serta boleh mendatangkan kepada perkara yang diharamkan syarak, maka kami berpendapat penggunaannya serta memperolehi pendapatan daripadanya adalah diharamkan.

Firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
“Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” (Surah al-A’raf: 157)

Dan sekiranya ingin menggunakan aplikasi tersebut mestilah memastikan bahawa:

  • Video yang hendak dimuatnaik itu mestilah tidak terdapat unsur-unsur lucah, maksiat dan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam.
  • Tidak berlaku pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan tanpa tujuan dan keperluan syarak.
  • Bukan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang diharamkan seperti menipu, mencuri maklumat dan sebagainya.

Sebaiknya, seseorang Muslim itu tidak melakukan sesuatu perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan perbuatan yang sia-sia. Hadith daripada Abu Hurairah R.A, sabda Nabi SAW:

مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
“Sebahagian daripada keelokan Islam itu adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya.” [Riwayat Ibnu Majah (3976)]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 1/16/2020

0 comments:

Loading...