Adakah Rujuk Boleh Berlaku Melalui Persentuhan Dengan Syahwat?

Posted on Tuesday, February 11, 2020 | 2/11/2020



SOALAN:
Jika pasangan suami isteri itu bercerai talak satu, kemudian suami itu menyentuh isterinya tersebut dengan syahwat, adakah perbuatan tersebut dikira sebagai rujuk? Terima kasih.

JAWAPAN:
Islam amat menggalakkan supaya dikekalkan hubungan perkahwinan di antara suami isteri. Meskipun begitu, kadangkala boleh berlaku perselisihan dan salah faham sesama pasangan dalam bentuk yang sukar untuk dipertahankan ikatan perkahwinan. Maka Islam memberikan jalan keluar untuk sekalian umatnya menerusi pensyariatan talak (cerai). Dalam masa yang sama, syariat Islam menjadikan asal bagi talak adalah merupakan talak raj’ie (yang boleh dirujuk semula) yang tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh. Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh iddah.

Iddah bagi wanita yang diceraikan adalah selama tempoh tiga kali suci. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
“Dan wanita-wanita yang diceraikan itu maka mereka ‘mengurung’ diri mereka selama tiga kali suci.” [Surah Al-Baqarah (228)]

Justeru, dalam tempoh tiga kali suci tersebut seorang suami itu boleh untuk merujuk semula kepada isterinya yang telah diceraikan.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, suka kami menjelaskan beberapa nas yang menunjukkan kepada pensyariatan rujuk. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا
“Dan suami-suami mereka (orang perempuan) berhak merujuk semula dengannya dalam tempoh masa (iddah) tersebut, sekiranya mereka (para suami) berkehendakkan kepada kebaikan.” [Surah Al-Baqarah (228)]

Imam Al-Syafie dalam mengulas ayat di atas beliau berkata: “Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan rujuk.” [Rujuk: Al-Umm, Al-Syafi’e (5/260)]

Manakala nas daripada sunnah adalah berdasarkan perbuatan Nabi SAW yang merujuk semula kepada isterinya Ummul Mukminin Hafsah. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Umar Ibn al-Khattab R.A beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم طَلَّقَ حَفْصَةَ ثُمَّ رَاجَعَهَا
“Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menceraikan Hafsah kemudian baginda merujuk semula.” [Riwayat Abu Daud (2283)]

Persoalan yang utama dalam isu ini adalah, apakah kayu ukur yang diambil kira untuk seseorang suami itu merujuk semula kepada isterinya, maka kami menyatakan bahawa para ulama' berbeza kepada beberapa pendapat yang utama dalam isu ini.

Para ulama' al-Syafi’eyyah berpendapat bahawa tidak sah perbuatan rujuk serang lelaki melainkan hanya dengan perkataan. Sekiranya dengan perbuatan seperti seorang suami itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah, maka ia tidak dikira sebagai rujuk. Maka tidak sah merujuk menerusi perbuatan yang melibatkan berpelukan, menyentuh, dan sebagainya selama mana seseorang itu mampu untuk mengucapkan lafaz rujuk.

Kata Imam Al-Nawawi: “Tidak sah merujuk melainkan dengan ucapan. Sekiranya seseorang itu menyetubuhinya maka hal tersebut tidak dianggap sebagai rujuk. Maka tidak sah (rujuk) dengan perbuatan sekiranya seseorang mampu untuk mengucapkan (lafaz rujuk).” [Rujuk: Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (7/266)]

Kemudian beliau berkata lagi:

فأما إذا وطئها أو قبلها أو لمسها فلا يكون ذلك رجعة، سواء نوى به الرجعة أو لم ينو
“Sekiranya seseorang lelaki itu menyetubuhi isterinya (dalam tempoh iddah raj’ie), menciumnya, atau menyentuhnya, maka yang demikian itu tidak berlaku padanya rujuk. Sama ada dia melakukannya dengan niat rujuk atau pun tidak.” [Rujuk: Al-Majmu’, Al-Nawawi (7/266)]

Manakala di sisi mazhab Hanbali, ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama, rujuk tidak berlaku melainkan dengan ucapan sahaja. Manakala pendapat yang kedua menyebutkan bahawa rujuk itu terhasil dengan persetubuhan, sama ada dengan niat rujuk atau pun tanpa niat. [Rujuk: Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/523)]

Imam Ibn Qudamah menambah lagi: “Sekiranya seorang lelaki itu mencium isterinya (dalam tempoh iddah), menyentuhnya dengan syahwat, menyelak kemaluan lalu melihatnya, maka pendapat yang dinaskan daripada Imam Ahmad adalah kesemuanya itu tidak dianggap sebagai rujuk. Manakala menurut Ibn Hamid: Ada dua pendapat dalam isu ini. Pertama: Ia dianggap sebagai rujuk, kerana perbuatan ini dianggap sebagai berseronok-seronok yang hanya diharuskan menerusi perkahwinan. Maka terhasil rujuk dari perbuatan tersebut sama seperti persetubuhan. Manakala pendapat yang kedua menyatakan bahawa ia tidak dianggap sebagai rujuk. Ini kerana ia (perbuatan-perbuatan tersebut) adalah perkara yang tidak ada kaitan dengan ijab iddah dan juga mahar. Maka tidak terhasil rujuk dari perbuatan tersebut.” [Rujuk: Al-Mughni, Ibn Qudamah (7/53)]

Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili menyatakan: “(Rujuk) adalah lafaz yang ringkas maka tidak sah rujuk melainkan dengan perkataan. Hendaklah ia merupakan lafaz yang sarih dan ia tidak memerlukan kepada niat. Seperti ucapan ‘aku rujuk kamu’, dan lain-lain.”

Begitu juga beliau berkata: “Dan haram istimta’ (bermesraan) dengan wanita yang ditalakkan dengan talak raj’ie menerusi persetubuhan, bersentuhan, dan melihat ke arahnya meskipun tanpa syahwat, ini kerana dia telah berpisah dengan suaminya...” [Rujuk: Al-Mu’tamad, Al-Zuhaili (4/185-190)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa kami cenderung kepada pendapat mazhab Al-Syafi’e dalam isu ini. Dari sudut rujuk antara pasangan yang bercerai tidak boleh berlaku dengan perbuatan semata-mata sekiranya seorang lelaki itu mampu untuk melafazkan rujuk. Bahkan ia hanya sah dengan ucapan rujuk dari pihak suami sahaja. Kami juga menyatakan, dalam kes-kes sebegini hendaklah pasangan tersebut mendaftarkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Kemudian setelah mendapat perintah mahkamah, proses rujuk boleh diteruskan selama masih dalam tempoh iddah. Proses-proses ini boleh dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan atau Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/11/2020

0 comments:

Loading...