Hukum Mengangkat Kepala Kerana Sujud Di Atas Benda Tajam

Posted on Monday, February 24, 2020 | 2/24/2020



SOALAN:
Apakah hukum sujud di atas benda tajam seperti batu atau selainnya? Kebiasaannya kita akan terangkat kepala dan sujud di tempat yang lain pula. Bukankah mengangkat kepala ketika sujud boleh membatalkan sembahyang?

JAWAPAN:
Sujud merupakan suatu perbuatan yang hanya dikhususkan untuk perbuatan ibadah kepada Allah SWT sahaja. Justeru, di dalam al-Quran kerap digunakan lafaz sujud dengan makna solat. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan berbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah al-Hajj: 77)

Definisi Sujud

Sujud dari segi bahasa ialah cenderung atau merendah diri. Manakala dari segi istilah pula ialah suatu perbuatan mengenakan sebahagian dahinya pada tempat sujud. (Rujuk: Nihayah al-Muhtaj, 1/509)

Sujud adalah merupakan salah satu dari rukun fi’li (perbuatan) daripada rukun-rukun dalam solat. Bagi setiap rukun-rukun tersebut, terdapat syarat-syarat sahnya yang tersendiri. Berkenaan rukun sujud, kami membawakan beberapa hadith Nabi SAW yang menjadi istidlal mazhab Syafi’ie. Antaranya ialah:

إذا سجدت فمكن جبهتك ولا تنقر نقرا
“Apabila kamu sujud, tetapkanlah dahi kamu dan jangan lakukannya terlalu laju.” [Riwayat Ibnu Hibban (1884)]

Sabda Rasulullah SAW:

أمرت أن أسجد على سبعة أعظم , وعلى الجبهة , وأشار بيده على أنفه , واليدين واركبتين وأطراف القدمين
“Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud; yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki.” [Riwayat Bukhari (779) dan Muslim (490)]

Dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafie, terdapat 7 syarat sah bagi sujud.

  1. Hendaklah ia sujud diatas tujuh anggota.
  2. Hendaklah dahinya terbuka.
  3. Meletakkan kepala sekira-kira dahi menempel (ada tekanan) pada tempat sujud.
  4. Tidak ada niat lain selain sujud.
  5. Tidak sujud diatas barang yang bergerak dengan pergerakannya.
  6. Kedudukan punggung lebih tinggi dari kepala.
  7. Toma'ninah.

(Rujuk: Nail al-Raja’; 179; Fiqh Manhaji; 1/136)

Berdasarkan soalan di atas, ianya berkait dengan syarat sah sujud yang ke-7 iaitu toma'ninah. Toma'ninah dalam sujud bererti meletakkan dahi di tempat sujud dengan kadar sekira-kira dapat menyebut lafaz ‘subhanallah’. Ia berdasarkan hadith riwayat Ibnu Hibban yang telah disebutkan sebelum ini. Ia juga diambil berdasarkan hadith Nabi SAW:

...ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا، ثم ارفع حتى تطمئن جالسا، ثم اسجد حتى تطمئن ساجدا...
“...Kemudian sujudlah hingga tetap dalam keadaan itu, kemudian bangunlah sehingga tetap keadaan duduk, kemudian sujudlah lagi sehingga tetap keadaannya (sujud)...” [Riwayat Bukhari (724) dan Muslim (397)]

Mengangkat Kepala Setelah Sujud

Sujud hendaklah dilakukan dengan meletakkan ketujuh-tujuh anggota sujud dengan kadar toma'ninah, namun anggota sujud iaitu dahi merupakan anggota yang perlu diberi perhatian. Hal ini kerana, sekiranya dahinya terhalang oleh sesuatu ia dapat membatalkan sujud seseorang. Begitu juga sekiranya dia mengangkat dahinya setelah sujud tanpa sebarang keuzuran. (Rujuk: Hasyiyah al-Baijuri; 1/350)

Hukum mengangkat kepala ketika sujud boleh dibahagikan kepada dua keadaan:

  1. Mengangkat kepala tanpa uzur syar’ie – hukumnya boleh membatalkan sujud dan solat secara mutlak.
  2. Mengangkat kepala dengan uzur syar’ie – Terdapat beberapa perincian:

Uzur syar’ie yang diiktibar syarak ialah seperti sujud di atas permukaan yang tajam, atau sujud di atas permukaan yang terlalu panas atau apa-apa permukaan yang dapat melukakan dan memberi mudarat kepada kepalanya, maka dibolehkan baginya untuk mengangkat dahinya dengan syarat sujudnya itu belum mencapai kadar toma'ninah. Sekiranya sujudnya itu telah mencapai kadar toma'ninah, maka sujudnya itu terbatal kerana dia telah menambah rukun baru iaitu sujud di dalam solatnya dengan sengaja. (Rujuk: Hasyiyah al-Baijuri; 1/350)

Berkata Syeikh Ibrahim al-Baijuri: “Sekiranya dia sujud di atas permukaan yang kasar hingga mengakibatkan kesakitan pada dahinya sebagai contoh, maka sekiranya dia mengalihkan dahinya tanpa mengangkatnya, ia tidak memudaratkan. Jika dia mengangkat dahinya kemudian mengembalikannya semula, sekiranya belum sempat capai kadar toma'ninah maka tidak memudaratkan. Jika sebaliknya (yakni sujudnya telah mencapai kadar toma'ninah) maka ia memudaratkan kerana dia telah menambah satu sujud. Dan jika dia mengangkat dahinya tanpa uzur dan mengembalikannya (ke tempat sujud) maka memberi kesan (batal solat) secara mutlak.” (Rujuk: Hasyiyah al-Baijuri; 1/350)

Berkata Shaikh Abu Qutaibah Rasyidi: “Maka jika sujud dia di atas sesuatu yang tajam, jika dikesot akan mukanya dengan tiada angkat, tiada mengapa. (Dan jika) diangkat akan dia kemudian dikembali akan dia, maka jika belum lagi ia toma'ninah tiada mengapa, dan jika sudah toma'ninah maka mudarat, kerana bertambah sujud.” (Rujuk: Idhoh al-Misbah, 1/439).

Berkata Shaikh Daud al-Fatoni dalam Bughyah al-Tullab: “(Dan jika) sujud dia atas suatu yang tajam, maka diangkatnya akan dahinya, kemudian sujud pula atas tempat yang lain, batal sembahyangnya, jika diperoleh segala syarat sujud pada yang pertama. Dan jika tiada maka tiada batal, kerana perbuatan itu sedikit, maka hendaklah ia memeliharakan daripada diangkatkan kepalanya, sampai jangan batal sembahyang, tetapi hendaklah dikesotkan dahinya kepada tempat yang lain yang tiada tajam.” (Rujuk: Idhoh al-Misbah, 1/439)

Kesimpulan

Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan hukum sujud di atas benda tajam atau apa-apa permukaan yang menyebabkan mudarat kepada dahi seseorang adalah seperti berikut:

  • Sekiranya seseorang sujud di atas permukaan tersebut dan belum mencapai kadar toma'ninah (iaitu sekadar sebutan subhanallah), maka dia dibolehkan untuk mengangkat semula kepalanya untuk sujud di atas permukaan lain yang tidak membawa mudarat dan hukum solatnya tetap sah.
  • Sekiranya seseorang sujud di atas permukaaan tersebut dan telah mencapai kadar toma'ninah, maka dia tidak dibolehkan untuk mengangkat semula kepalanya. Sekiranya dia melakukan hal tersebut (mengangkat kepalanya) maka solatnya terbatal dan dia perlu mengulangi solatnya semula.
  • Adapun sekiranya seseorang tidak mahu mengangkat kepalanya, maka dia boleh mengalihkan dahinya dengan mengesotkannya ke permukaan yang tidak membawa mudarat ketika sedang sujud. Hal ini diharuskan oleh para ulama’ dan keadaan solatnya tetap sah.

Wallahu a’lam. Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/24/2020

0 comments:

Loading...