Kami tahu penyokong lebih suka, tetapi...


Kuala Terengganu: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim optimis sambutan hangat tetap akan diberikan penyokong walaupun majoriti daripada mereka difahamkan lebih suka TFC beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu.

Beliau percaya perkara itu tidak akan menghalang peminat untuk membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang mampu memuatkan maksimum kira-kira 50,000 peminat.

“Setakat ini saya percaya dengan penyokong tetap akan beri sokongan pada pasukan walaupun daripada sudut keadaan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah lebih digemari kerana jarak padang lebih rapat dengan mereka untuk saksikan perlawanan.

“Namun padang di Stadium Sultan Ismail berbeza dengan padang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kerana corak yang diterapkan oleh jurulatih, Nafuzi Zain lebih sesuai menggunakan kualiti padang di sini.” kata Hishamuddin.

Sejak Nafuzi Zain mengemudi TFC pada pertengahan musim lalu, pengendali berusia 41 tahun mula menerapkan corak permainan penguasaan bola serta hantaran pendek.

Bagaimanapun corak permainan sebegitu kurang efektif jika dimainkan di padang yang kurang kualitinya seperti di SSINS apatah lagi ia masih menggunakan rumput jenis ‘cow grass’ yang boleh mengganggu kelancaran pergerakan bola disebabkan sifat daunnya yang lebar.

Justeru, padang di SSMZA yang telah dinaik taraf dengan rumput jenis Bermuda Princess 77 amat sesuai untuk memainkan corak permainan ‘Nafuzi Ball’ itu.

Sementara itu, untuk meningkatkan lagi kehadiran penyokong dan penonton ke laman baharu TFC itu, Hishamuddin berkata pihaknya sudah merangka beberapa aktiviti ‘engagement’ bersama peminat pasukan berpangkalan di pantai timur itu.

“Kami juga ada merancang akan mempelbagaikan aktiviti dengan penyokong tetapi melihat keupayaan kewangan kami selain yakin stadium ini akan diberi perhatian khusus oleh kerajaan negeri,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Hishamuddin yang juga merupakan Timbalan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu turut memberikan jaminan SSMZA sedia untuk digunakan menjelang saingan sulung CIMB Liga Super Malaysia 2020 menentang Perak pada 29hb Februari kelak. - Foxsports