Mendatangi Isteri Kerana Sangkaan Haid Sudah Berhenti

Posted on Saturday, February 15, 2020 | 2/15/2020



SOALAN:
Kebiasaannya isteri saya berhaid selama 7 hari. Baru-baru ini, selepas isteri keluar darah haid selama 7 hari, dan telah mandi wajib, saya dan isteri ada mengadakan hubungan kelamin. Namun kami mandi wajib, isteri saya mendapati keluar bekas-bekas darah berwarna kekuningan daripada alat sulitnya. Soalan saya; adakah saya berdosa kerana mengadakan hubungan kelamin dengan isteri sewaktu haid sedangkan saya tidak tahu dan yakin haid sudah tamat?

JAWAPAN:
Islam melarang pasangan suami isteri untuk melakukan hubungan intim sepanjang tempoh keluarnya darah haid.. Larangan ini dinyatakan melalui firman Allah SWT:

فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ ُ
“Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.” (Surah al-Baqarah: 222)


Berkata Imam al-Mawardi dalam menafsirkan ayat di atas: “Yang dimaksudkan dengan al-i`tizal dalam ayat ini terbahagi kepada tiga pendapat:

• Meninggalkan seluruh badan isterinya daripada mubasyarah (dinikmati secara seksual dan secara langsung). Inilah pendapat Ubaidah al-Silmani.
• Meninggalkan (mubasyarah) pada bahagian di antara pusat dan lutut. Ini pendapat Syuraih.
• Meninggalkan (persetubuhan) pada faraj. Inilah pendapat Aisyah, Maimunah, Hafsah dan Jumhur ahli tafsir.”

[Rujuk: al-Nukat wa al-`Uyun (1/238)]

Sekiranya sabit berlakunya persetubuhan semasa tempoh haid atau sebelum mandi wajib, maka hukumnya adalah berdosa dan disunatkan untuk membayar kafarah kepada golongan fakir atau miskin. Ini berdasarkan hadith Ibn Abbas R.Anhuma:

إِذَا أَصَابَهَا فِي الدَّمِ فَدِينَارٌ، وَإِذَا أَصَابَهَا فِي انْقِطَاعِ الدَّمِ فَنِصْفُ دِينَارٍ
“Jika seorang lelaki menyetubuhi isterinya sedangkan dia sedang haid, jika darahnya berwarna merah maka hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar dan jika darahnya sudah berhenti maka hendaklah dia bersedekah dengan separuh dinar.” [Riwayat Abu Daud (2169)]


Bayaran itu hendaklah dibayar oleh si suami dan bukan si isteri kerana lelaki itu yang menyetubuh. Begitu juga jika dia bersetubuh apabila berhentinya darah haid tetapi belum mandi, maka keadaan wanita itu dianggap sama seperti yang keluar darah kekuningan. Ertinya, sunat dibayar denda separuh harga dinar. [Rujuk: al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (146-147)]

Namun begitu jika hubungan kelamin itu berlaku akibat jahil terhadap keadaan haid itu dan tersilap, maka suami dan isteri itu tidak berdosa dan tidak diperintahkan kepada suami untuk membayar denda.

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Umat Islam telah berijma’ akan pengharaman bersetubuh dengan isteri yang haid berdasarkan ayat (al-Quran) yang mulia dan hadith-hadith sahih. Berkata al-Mahamili dalam al-Majmu’: Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah: Barangsiapa yang melakukannya maka dia melakukan dosa besar. Berkata ashab kami dan selain mereka: Barangsiapa yang menghalalkan persetubuhan dengan wanita haid maka dihukum kafir. Para ashab juga berkata barangsiapa yang melakukannya (bersetubuh semasa haid) kerana jahil tentang wujudnya haid, atau jahil tentang pengharamannya, atau lupa, atau dipaksa, maka tidak ada dosa ke atasnya dan tidak ada kafarah (denda). Ini berdasarkan hadith Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اُسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
“Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku perkara yang dilakukan kerana tersilap, lupa dan dipaksa ke atasnya.” [Hadith ini hasan, diriwayatkan oleh Ibn Majar, al-Baihaqi dan selain mereka]


[Rujuk: al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (2/359)]

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, hukum suami melakukan persetubuhan dengan secara sengaja semasa haid adalah diharamkan, berdosa besar dan wajib bertaubat. Begitu juga ke atas isteri jika dia melakukannya dengan rela kerana membantu kepada maksiat adalah maksiat. Adapun jika suami isteri itu melakukannya lantaran tersilap pada sangkaan bahawa haid sudah tamat mengikut adat, padahal belum, maka tidaklah mereka berdosa.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada kita semua.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/15/2020

0 comments:

Loading...