Telinga Berdengung Tanda Nabi Rindu Kepadanya?

Posted on Wednesday, February 05, 2020 | 2/05/2020



SOALAN:
Apakah benar apabila telinga berdengung menandakan bahawa Nabi SAW sedang mengingatinya?

JAWAPAN:
Rasulullah SAW merupakan insan yang istimewa dan contoh ikutan yang terbaik sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Di samping itu juga, menjadi kewajipan ke atas kita untuk mencintai Nabi SAW sebagaimana ayat di dalam surah al-Taubah, firman Allah SWT:

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّـهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, -(jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).” (At-Taubah: 24)

Syeikh al-Sa’di mengatakan ini adalah ayat yang agung pada menyatakan kewajipan kita mencintai Nabi SAW melebihi segala-galanya. [Lihat: Tafsir al-Sa’di, 332]

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami nukilkan terlebih dahulu riwayat yang dikatakan bahawa apabila telinga seseorang itu berdengung maka itu adalah tanda bahawa Nabi SAW sedang merinduinya.

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا طَنَّتْ أُذُنُ أَحَدِكُمْ فَلْيَذْكُرْنِي وَلْيُصَلِّ عَلَيَّ وَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ اذْكُرْ بِخَيْرٍ مَنْ ذَكَرَنِي
Apabila telinga kamu berdengung, hendaklah dia ingat kepadaku dan berselawat ke atasku dengan berkata: “Semoga Allah akan mengingatkan yang mengingatku dengan kebaikan.”

Hadith di atas diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (9222), al-Mu’jam al-Saghir (1104) dan juga di dalam al-Mu’jam al-Kabir (958). Tambahan pula, ia turut diriwayatkan oleh Imam Ibn al-Sunni di dalam kitabnya ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (166). Untuk itu, di sini kami nukilkan pula pandangan ulama' dalam menentukan atau menilai status hadith ini:

  • Imam Ibn al-Jauzi (597H) menilai hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 3/76]
  • Imam al-Sakhawi (902H) mengatakan sanad hadith ini adalah dhaif. Bahkan, al-‘Uqailiy menilai hadith ini tidak mempunyai asal baginya. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 89]
  • Imam al-Fattani (986H) menghukum hadith ini sebagai palsu dan beliau menukilkan pandangan al-Sakhawi dan juga al-‘Uqailiy. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 166]
  • Syeikh Mir’i bin Yusuf al-Maqdisi (1033H) menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Mawdhu’ah, 133]

Kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith di atas adalah tidak sahih. Untuk itu, kita tidak dibolehkan / haram bagi kita meriwayatkan hadith yang tidak sahih apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya.

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih dan haram ke atas kita untuk meriwayatkan atau menyebarkannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Hal ini termasuk di dalam kewajipan kita untuk memelihara Rasulullah SAW daripada sebarang pendustaan yang disandarkan kepada Baginda SAW. Tambahan pula, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah hadith adalah penting kerana Nabi SAW telah mengancam terhadap orang-orang yang melakukan pendustaan terhadapnya dan juga kalamnya (hadithnya).

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/05/2020

0 comments:

Loading...