(Video) 'Bawa kereta mahal, tapi otak tertinggal di rumah' - Rider GrabFood parah, polis buru pemandu BMW

Posted on Tuesday, March 10, 2020 | 3/10/2020



Seorang penghantar makanan GrabFood parah selepas merempuh kereta BMW yang menukar laluan secara mengejut di Lebuhraya Persekutuan dari arah Subang ke Kuala Lumpur, kelmarin. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.10 petang Ahad, mangsa yang menaiki Yamaha Y15ZR patah bahu kiri, cedera di kepala, badan dan buku lali kanan. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, BMW berwarna hitam terbabit telah menukar lorong secara mengejut dari lorong paling kanan ke kiri untuk memasuki susur keluar Lebuhraya Baru Pantai (NPE). 

Mangsa yang tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta tersebut. Pemandu BMW menyedari keretanya dirempuh tetapi tidak berhenti dan terus melarikan diri. 

Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan. 


Polis masih belum menerima sebarang laporan dari pemandu BMW terbabit dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor R Navalan di talian- 014-2536820. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




Sementara itu, Amerul Izuwan, dalam perkongsiannya di Facebook mengakui rakannya itu tidak menggunakan laluan motosikal.

"Diakui saudara Nizam (mangsa) melakukan kesalahan kerana tidak menggunakan laluan motosikal. Tetapi kami sangat ralat. Pemandu tersebut tidak bertanggungjawab atas kelalaiannya dan hanya tengok sahaja saudara Nizam terkulai di atas jalan raya," katanya.

Amerul berharap, pihak berkuasa dapat mengesan pemandu BMW itu untuk tampil bertanggungjawab.

Sumber: Sinar Harian, Amerul Izuwan


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 3/10/2020

0 comments:

Loading...