Anak Yatim Tetap Dirai


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 18 Mei- Seramai 135 anak yatim dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi diraikan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi walaupun negara menjalani kehidupan dengan norma baru disebabkan Pandemik COVID-19.

Anak-anak yatim yang terpilih daripada 23 cawangan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu menerima duit raya serta senaskah al-Quran yang disampaikan Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman dalam satu pertemuan ringkas yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Tersusun Rantau Panjang, semalam.

Ghazali berkata, hasrat mengembirakan anak yatim tetap diteruskan dengan mengadakan pertemuan ringkas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerajaan.


“Kebiasaannya, tahun-tahun sebelum ini kita adakan majlis berbuka puasa untuk meraikan mereka, namun tahun ini sedikit berbeza disebabkan wabak COVID-19 belum pulih sepenuhnya," ujarnya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Katanya, bagi meminimakan kehadiran pada satu-satu masa, ianya telah diadakan selama tiga hari dengan dibahagikan kepada enam zon.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang untuk Tabung Prihatin DUN Bukit Besi kerana melaluinya program seumpama itu terus dapat dijayakan pada tahun ini.

Sumber: teganukita.net