'Dakwaan Asri keterlaluan, PDRM tak pernah ketepikan didikan agama' - KPN

Posted on Wednesday, August 12, 2020 | 8/12/2020



Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan dakwaan dibuat pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menjaga solat sebagai keterlaluan.

Beliau berkata, isu itu tidak sepatutnya dibangkitkan dalam khalayak ramai.

"Ini (solat) soal kita dengan Tuhan dan PDRM tidak pernah ketepikan … didikan moral dan agama sentiasa disemarakkan dalam pasukan.

"Orang kena tahu PDRM juga ada hafiz dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negara mempunyai surau," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan prasarana dan sentiasa memberi ruang untuk setiap pegawai serta anggota melaksanakan kewajipan masing-masing.

"Saya tidak boleh paksa semua orang sembahyang ... itu antara diri masing-masing dengan Tuhan," katanya.

Katanya, setiap calon konstabel dan pegawai bagi pengambilan baharu juga diwajibkan menjalani ujian agama.

"Ini telah lama dilakukan dan ujian kefahaman asas agama kepada calon agama Islam ini membolehkan PDRM nilai siapa yang layak untuk menjadi anggota polis.

"Dalam Rukun Negara juga jelas mengatakan yang asasnya adalah kepercayaan kepada Tuhan. Pucuk pimpinan tidak mahu orang berisiko diberi kuasa," katanya.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur juga menerima satu laporan yang dibuat individu berhubung kenyataan yang dikeluarkan Asri yang didakwa menghina PDRM dan ATM. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, siasatan telah dijalankan oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998."

Asri akan dipanggil untuk memberi keterangannya dalam masa terdekat. 

Sumber: Harian Metro, Bernama, Sinar Harian



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 8/12/2020

0 comments:

Loading...