Anwar dah masuk ke Istana Negara, 5 perkara ini mungkin berlaku selepas Anwar menghadap YDPA

Posted on Tuesday, October 13, 2020 | 10/13/2020




13 Oktober 2020 tarikh yang dinanti-nantikan oleh banyak pihak sama ada Malaysia bakal menerima kerajaan baharu atau Parlimen akan dibubarkan. 


Kira-kira jam 10.30 pagi tadi, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda yang beliau mempunyai sokongan majoriti dari Anggota Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu. 


Menurut Lim Wei jiet, pakar undang-undang Perlembagaan, ada beberapa perkara yang mungkin akan berlaku hari ini. 


1. Sekiranya Anwar tidak benar-benar mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen, maka tiada apa akan berlaku dan mungkin ahli Parlimen Port Dickson itu diminta untuk mencuba nasib pada masa akan datang.


2. Sekiranya Anwar dapat membawa dokumen dalam bentuk surat akuan berkanun atau Statutory Declaration (SD), Al-Sultan Abdullah mungkin boleh menasihatkan Anwar supaya mengemukakan keterangan lebih konkrit.


Mungkin baginda boleh mewawancara semua ahli Parlimen seperti yang baginda lakukan sebelum ini bagi mengenal pasti sokongan yang diperoleh Anwar.


3. YDP Agong juga boleh menasihati Anwar supaya mengemukakan satu usul khas di Parlimen, bukan hanya melalui SD atau wawancara, sekiranya benar beliau mempunyai sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat. Cara itu diamalkan banyak negara lain yang mempraktikkan sistem demokrasi.



4. Jika YDP Agong benar-benar yakin bahawa Anwar sememangnya mempunyai majoriti, baginda boleh menitahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertemu baginda terlebih dahulu.


Muhyiddin kemudian mempunyai dua pilihan, sama ada beliau boleh meletak jawatan, atau menasihatkan YDP Agong untuk membubarkan Parlimen.


Pada peringkat ini, Al-Sultan Abdullah mempunyai budi bicara sama ada menerima cadangan membubarkan Parlimen atau menolak cadangan tersebut.


5. Sekiranya YDP Agong menolak cadangan pembubaran Parlimen, Al-Sultan Abdullah boleh terus melantik Anwar menjadi Perdana Menteri.


Walaupun begitu, YDP Agong pasti akan meneliti pelbagai aspek sebelum membuat sebarang keputusan. 


Sumber: Astro Awani



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 10/13/2020

0 comments:

Loading...