Izinkan Nur Fatin pandu Myvi tanpa lesen, tunangnya mengaku bersalah & didenda RM3,300

Posted on Thursday, October 15, 2020 | 10/15/2020


Pemandu Myvi yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa seorang bapa kepada tiga orang anak telah dijatuhkan hukuman penjara. Kini tunangnya pula dikenakan hukuman denda. 


Nuraiman Fathi Mohd Zukki, 23, tunang kepada Nur Fatin Nasrah Suhaimi, dijatuhkan hukuman denda RM3,300 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini kerana membenarkan tunangnya itu memandu kenderaan miliknya tanpa lesen, cukai kenderaan tamat tempoh dan tiada insurans dalam kejadian Sabtu lalu. 


Majistret Suhaila Shafi'uddin membuat keputusan itu selepas pekerja kilang berkenaan membuat pengakuan bersalah di atas tiga pertuduhan tersebut. 


Disebabkan itu juga, lesen memandu Nuraiman turut digantung selama setahun. Sekiranya Nuraiman gagal membayar denda RM3,300, dia diperintah untuk menjalani hukuman penjara selama 13 bulan. 


Berdasar pertuduhan pertama, Nuraiman membenarkan Nur Fatin yang tidak memilik lesen memandu keretanya pada 10 Oktober lalu, sehingga berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian seorang anggota TLDM. 


Bagi pertuduhan kedua, Nuraiman didakwa membenarkan Nur Fatin memandu kereta Perodua Myvi miliknya yang tamat tempoh cukai jalan. 


Pertuduhan ketiga, Nuraiman dituduh membenarkan Nur Fatin memandu keretanya tanpa perlindungan insurans seperti yang dikehendaki di bawah Bahagian IV APJ 1987 (Akta 333/87). 


Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Noridayu Md Kassim. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 10/15/2020

0 comments:

Loading...