Ketua Kampung join 5 rakannya rembat lembu penduduk, ditahan polis

Posted on Thursday, October 15, 2020 | 10/15/2020


Enam lelaki termasuk seorang ketua kampung direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes kecurian lembu di Kampung Sungai Dua, Gemencheh di Tampin, Negeri Sembilan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin DSP Ahmad Pilus Zainal berkata kesemua suspek yang berumur lingkungan 35 hingga 50 tahun itu ditahan Isnin lepas selepas polis menerima aduan daripada seorang lelaki pada hari yang sama.


“Pengadu yang merupakan penternak lembu memaklumkan telah terlihat sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki empat lelaki pada Isnin dalam keadaan mencurigakan di kawasan belukar berhampiran sebuah reban ayam di kampung berkenaan serta terdapat seekor lembu yang diikat kakinya dan ditutup dengan kanvas di dalam kenderaan itu.


“Berlaku pertengkaran antara pengadu dan lelaki berkenaan sebelum lembu itu dilepaskan. Pengadu kemudian tampil membuat laporan pada hari yang sama dan polis telah berjaya menangkap enam lelaki termasuk seorang ketua kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ahmad Pilus berkata semakan rekod jenayah lampau kesemua suspek mendapati dua daripadanya memiliki rekod lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Sumber: Bernama



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 10/15/2020

0 comments:

Loading...