'Saya memang takkan bagi peluang' - 6 anggota polis ditahan kerana peras ugut orang awam di sekitar Serdang

Posted on Friday, October 30, 2020 | 10/30/2020



Enam anggota polis ditahan kerana disyaki memeras ugut orang awam di sekitar Serdang, semalam. Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi Bernama.


Tanpa mendedahkan butiran lanjut penahanan kesemua suspek, beliau berkata mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.


"Ya, saya mengesahkan mereka ditahan semalam oleh JIPS untuk siasatan lanjut," katanya ringkas.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata pihaknya menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan pemerasan.


Beliau berkata ketika ini, siasatan secara terperinci dilakukan berhubung kes itu dan kesemua anggota yang terlibat ditempatkan di Unit Pentadbiran buat sementara waktu serta tidak dibenarkan bertugas di lapangan.


“Saya memang tidak bagi peluang kepada mana-mana anggota saya yang bertugas di bawah pentadbiran kawasan Serdang melakukan kegiatan sedemikian (peras ugut).


“Hasrat saya adalah untuk menaikkan imej polis agar masyarakat tidak pandang serong kepada kami apabila berlaku kes-kes sebegini (anggota polis terlibat kes jenayah),” katanya.


Razali berkata fokusnya adalah untuk ‘membersihkan’ imej Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang daripada stigma negatif masyarakat dan mengembalikan keyakinan mereka kepada pasukan keselamatan itu.


“Saya tidak mahu apabila anggota polis terlibat jenayah, masyarakat menganggap kami tidak mengambil tindakan kepada mereka. Sebab itulah saya tidak beri muka apabila anggota saya terlibat jenayah,” katanya.


Sumber: Bernama



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 10/30/2020

0 comments:

Loading...