'Saya panjat pokok, nampak rambut si kakak' - 2 beradik lemas di kolam tadahan air

Posted on Tuesday, October 06, 2020 | 10/06/2020


Dua beradik ditemukan lemas di kawasan tadahan air di Jalan Cheras Prima, Kajang, di sini, petang semalam.


Mangsa dikenali sebagai Mohd Rayan Ikram Rozilah, 8, dan Nur Farisah berusia 10 tahun. 


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 3 petang dan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.


Beliau berkata kedua-dua mangsa dibawa naik ke tebing oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian.


“Pasukan perubatan mengesahkan kedua-dua kanak-kanak itu meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama.


Norazam berkata kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.


Sementara itu, individu yang menyelamatkan dua kanak-kanak itu, Badruzzaman Borhanudin, 27, berkata, dia terjun ke dalam kolam tadahan air itu untuk menyelamatkan dua mangsa terbabit biarpun merisikokan nyawanya sendiri. 


"Saya tidak fikir apa-apa ketika terjun ke dalam kolam itu untuk menyelamatkan mereka sehingga nawaitu saya jika hendak mati, biarlah mati bersama," katanya. 


Difahamkan, sebelum itu Badruzzaman sedang memasang khemah untuk mula berniaga dan didatangi oleh seorang wanita di sebelah kedai yang memberitahu ada kanak-kanak lemas. 


Badruzzaman terus pergi ke kolam itu dan terjun untuk mencari mangsa tetapi tidak menemui mereka. Keadaan itu memaksa dia memanjat pokok sebelum ternampak rambut mangsa.


"Saya kemudian memanjat pokok sebelum ternampak rambut si kakak menyebabkan saya terjun sekali lagi untuk menarik mangsa ke tebing. 


"Selepas itu, saya terjun kali kedua untuk menarik adiknya pula dengan turut dibantu seorang lagi orang awam yang kebetulan lalu di kawasan itu," katanya memetik laporan dari Harian Metro. 


Ketika itu, si kakak masih bernyawa tetapi lemah, manakala adiknya pula sudah kebiru-kebiruan. 


Sumber: Bernama, Harian Metro



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 10/06/2020

0 comments:

Loading...