Sekolah kawasan selamat untuk pelajar, tidak akan ditutup - Timb. Menteri Kesihatan

Posted on Wednesday, October 07, 2020 | 10/07/2020


Kerajaan tidak bercadang untuk menutup sekolah kerana ia masih dianggap sebagai kawasan yang selamat untuk pelajar, melainkan lokasi itu mencatatkan kes positif Covid-19.


Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, prosedur operasi standard (SOP) di sekolah dilaksanakan dengan ketat. Orang awam juga tidak dibenarkan keluar masuk sekolah. 


"Di sekolah lebih selamat berbanding komuniti luar. Jika tiada kes Covid-19, sekolah tidak akan ditutup," katanya memetik laporan dari Utusan Malaysia. 


Semalam, Malaysia mencatatkan peningkatan kes baharu positif Covid-19 sebanyak 691 kes dan 4 kematian yang membabitkan seorang bayi perempuan berusia satu tahun. 


Peningkatan demi peningkatan yang ketara sejak akhir-akhir ini membuatkan golongan ibu bapa bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Jika dilihat pada hari ini, sebuah kelas yang mempunyai 40 pelajar kini hanya tinggal 14 pelajar di mana yang lain tidak dihantar ke sekolah oleh ibu bapa kerana bimbang penularan wabak itu berlaku. 


Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin juga mengakui peningkatan kes sejak beberapa minggu lalu juga berpunca dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

 

Meskipun kes meningkat dengan angka yang begitu tinggi, tiada Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 akan dilaksanakan kerana kerajaan bimbang banyak pihak yang akan terkesan. 


Justeru, hanya kawasan-kawasan zon merah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB), sementara rakyat yang berada di luar zon tersebut dinasihatkan untuk mematuhi SOP dan menjaga kebersihan diri. 



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 10/07/2020

0 comments:

Loading...