Polis Kerian nafi dakwaan kompaun 2 remaja kerana buka pelitup muka untuk minum air

Posted on Friday, November 13, 2020 | 11/13/2020



Rabu lalu, sebuah portal berita Cina melaporkan dua remaja lelaki dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam. Bagaimanapun, mereka berdua menafikan dakwaan itu dan menegaskan diri mereka hanya menurunkan pelitup muka seketika untuk minum air. 


Kejadian itu dikatakan berlaku di Daerah Kerian, Parit Buntar, Perak pada Selasa 10 November 2020 di mana mereka didatangi tiga lelaki berpakaian biasa dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis, lalu membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan lanjut.


BACA LAPORAN BERKAITAN: 2 PENUNGGANG MOTOSIKAL DIKOMPAUN RM1,000 KERANA TURUNKAN PELITUP MUKA KETIKA MINUM AIR


Bagaimanapun, Polis Kerian semalam tampil menafikan dakwaan dua remaja terbabit dan turut disertakan gambar kedua-dua mereka yang jelas melakukan kesalahan yang menyebabkan mereka dikompaun. 


Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, anggota yang bertugas pada hari kejadian sedang melakukan rondaan Op Cegah Jenayah/Op Covid-19 SOP PKPB Parit Buntar dan ternampak dua remaja lelaki itu yang tidak memakai pelitup muka dengan betul, sedang duduk di atas motosikal masing-masing sambil berbual secara bersemuka. 


Berdasarkan pemerhatian anggota berkenaan, 10 minit telah berlalu dan kedua-duanya masih tidak memakai pelitup muka. Salah seorang pegawai polis kemudian menghampiri mereka dan memperkenalkan diri sebelum menjelaskan kesalahan yang telah dilakukan mereka. 


Dua remaja itu dibawa ke IPD Kerian untuk dikompaun kerana didapati melanggar Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 


“Sebelum tindakan kompaun diambil, kita telah membuat pemerhatian lebih kurang 10 minit di tempat tersebut.


“Malah, di dalam gambar dan video yang diambil juga jelas menunjukkan kedua-dua remaja itu bukan sahaja tidak memakai pelitup muka malah tidak mematuhi penjarakan sosial iaitu satu meter,” katanya.


Sumber: Kosmo



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 11/13/2020

0 comments:

Loading...