'Terpaksa beritahu mak, Surya meninggal sebab demam'

Posted on Tuesday, November 03, 2020 | 11/03/2020



"Saya harap orang yang menyebabkan kematian Siti Nur Surya akan menerima hukuman yang setimpal, kata bapa kepada Allahyarhamah Siti Nur Surya, 19, yang ditemui mati dengan kesan tetakan di Kampung Lubuk Batu, Telemong semalam.


Ismail Muda, 58, berkata beliau sama sekali tidak menyangka suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu merupakan bekas rakan sekolah yang pernah berkawan rapat dengan arwah.


“Dia (suspek) sering datang ke rumah, namun sejak beberapa bulan lepas agak jarang menemui kakak (Siti Nur Surya) di rumah. Saya benar-benar tidak sangka dengan kejadian yang menimpa,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Beladau Selat di Kuala Terengganu, malam ini.


Dalam kejadian semalam mayat Siti Nur Surya ditemukan dengan kesan tetakan pada badan serta putus tangan kiri di ruang tamu rumah, dan polis hari ini menahan seorang suspek yang merupakan seorang pelajar perempuan tingkatan enam, rakan sebaya arwah.


Sementara itu adik arwah, Nor Liyana Syuhada, 15, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan kekaknya itu ialah pagi semalam sebelum pergi ke sekolah dan ketika itu kakaknya masih lagi tidur di bilik mereka.


Beliau berkata arwah merupakan seorang yang peramah serta periang apabila bersama keluarga dan kehilangannya amat dirasai oleh mereka sekeluarga.


“Kami memang berkongsi bilik yang sama tetapi sejak minggu lepas arwah sering tidur bersendirian di ruang tamu, dan malam sebelum kejadian kakak sempat tidur bersama emak. Petang tadi kami terpaksa beritahu emak yang arwah telah meninggal dunia disebabkan demam kerana bimbang kejadian ini akan menjejaskan kesihatannya,” katanya yang kelihatan hiba.


Sementara itu, jenazah Siti Nor Surya selamat dikebumikan kira-kira pukul 8.15 malam di tanah perkuburan Kampung Beladau Selat dengan dihadiri keluarga terdekat serta penduduk setempat.


Terdahulu jenazah Siti Nur Surya selesai dibedah siasat lewat petang tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan.


Sumber: Bernama



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 11/03/2020

0 comments:

Loading...