Irfan Bakti Kemudi Pasukan Terengganu Musim Depan


Kuala Terengganu: MESKIPUN bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan, namun peminat setia skuad Penyu mendapat khabar gembira apabila hasrat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk mendapatkan khidmat ketua jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim akhirnya menjadi kenyataan.

Perkara itu disahkan sendiri bekas pengendali Felda United selepas mengadakan perbincangan peringkat akhir dengan pihak atasan PBSNT hari ini.

Menurutnya, hasil perbincangan tersebut, satu keputusan positif telahpun dicapai kedua-dua belah pihak dan bersetuju menerima tawaran untuk membimbing skuad Penyu musim depan.

"Jadi, semuanya sudah selesai dan saya akan memulakan tugas membimbing skuad Penyu bermula Disember depan," katanya.

Terdahulu, bekas pengendali Terengganu musim 2009 sehingga 2011 itu telah mengadakan perbincangan awal bersama pemangku Presiden PBSNT yang juga Menteri Besar  pada 18 Oktober lalu setelah mendapat reaksi positif daripada Ahmad Razif Abd Rahman yang berhajat menggunakan khidmatnya selaku ketua jurulatih baharu pasukan Terengganu musim depan.

Bagaimanapun, Irfan Bakti yang pernah menjulang Piala FA bersama skuad Penyu itu meminta tempoh seminggu untuk membuat keputusan sama ada menerima atau sebaliknya tawaran Terengganu.

Mengulas lanjut keputusannya untuk membimbing pasukan Terengganu musim depan walaupun beraski dalam Liga Perdana, ketua jurulatih berusia 65 tahun itu mengakui bersedia menyahut cabaran baharu dan akan berusaha membawa kembali skuad Penyu ke Liga Super secepat mungkin.

“Buat masa ini saya  sedang menilai dan mencari pemain untuk diserapkan bersama-sama pasukan musim depan. Saya tahu, ramai pemain musim ini mahu berhijrah ke pasukan lain dan ia tidak memberi masalah besar kepada saya.

“Malah, saya akan memilih pemain yang mempunyai hati untuk bermain dengan Terengganu sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat menyerahkan mandat seratus peratus kepada ketua jurulatih baharu skuad Penyu dalam membentuk pasukan musim depan termasuklah urusan pemilihan pemain.

"Kita serahkan seratus peratus kepada ketua jurulatih untuk lakukan yang terbaik buat pasukan Terengganu dan  saya ingin tegaskan bahawa orang lain tidak perlu masuk campur.

"Manakala pihak pengurusan (PBSNT) akan memberi fokus kepada kerja-kerja mengurus dengan lebih efektif termasuklah hal-hal berkaitan kebajikan pemain,” katanya.

Rozi turut memaklumkan bahawa penstrukturan dan rombakan semula pasukan Terengganu akan dilakukan selepas Mesyuarat Agung Tahunan PBSNT yang dijadualkan pada Disember depan. - SH