T-Team Akui Nasib Baik Tewas Tipis


Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, mengakui pasukannya bernasib baik berjaya mengelak dari dibolosi lebih banyak gol malah membawa bekalan satu gol di tempat lawan selepas tewas 1-2 kepada Selangor, malam tadi.

“Kami memulakan separuh masa pertama dengan cukup baik, hantaran-hantaran yang menjadi, malah para pemain juga berani mengatur gerakan untuk bermain dengan lebih tersusun.

“Tetapi babak kedua menyaksikan kami mengalami masalah dan Selangor mula memberi tekanan yang hebat kepada barisan pertahanan kami.

“Pasukan lawan menyerang sebagai satu unit memaksa kami bertahan begitu dalam ke bawah sehinggakan jarak pemain tengah dan serangan begitu jauh.

“Keadaan itu memaksa kami membuat hantaran-hantaran tinggi yang kami tidak biasa lakukan dan gagal mengekalkan penguasaan bola sekaligus Selangor mudah untuk terus menyerang.

“Secara keseluruhan, saya menghargai usaha para pemain saya yang bekerja keras dan bertahan dengan baik hanya tewas tipis 1-2.

“Kami juga bernasib baik kerana Selangor mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Dengan keputusan ini sudah tentu kami masih ada peluang untuk bermain lebih baik di pusingan kedua nanti dan tidak mustahil kami mampu menang.”

Beraksi tanpa kelibat pemain berpengaruh mereka, Dilshod Sherofetdinov, dan pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran memaksa Rahmad melakukan sedikit perubahan di bahagian tengah namun percaturan itu gagal membuahkan hasil.

“Ketiadaan mereka begitu dirasai malah saya terpaksa meletakkan (Makan) Konate dan Asrol (Ibrahim) di posisi mereka tetapi tidak sesuai dengan rentak permainan sebenar mereka yang lebih menyerang.

“Tetapi semua telah memberikan yang terbaik dan kini saya perlu memperbaiki kesilapan-kesilapan perlawanan malam ini (semalam),” kata bekas pengendali B-23 Indonesia itu lagi. - SA