T-Team Bakal Hilang Dua Penjaga Gol


KUALA TERENGGANU: T-Team bakal kehilangan dua penjaga gawangnya apabila dikhabarkan berhijrah menyertai pasukan lain dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Muhammad Ilham Amirullah Razali dikatakan menyertai pasukan naib juara Liga Super, FELDA United manakala Wan Muhamad Azraie Wan Teh kembali ke Pahang.

Sumber berkata, pihaknya bercadang mengekalkan mereka musim depan dan sudah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain terbabit.

Begitupun, katanya tawaran tinggi yang diperoleh menyukarkan T-Team untuk mengekalkan dua penjaga gawang itu musim depan.

"Pada dasarnya T-Team masih memerlukan dua penjaga gawang ini musim depan dan sedang berusaha untuk mengekalkan mereka. "Tapi, T-Team tidak mampu jika mereka menuntut gaji sama seperti tawaran yang diterima daripada pasukan FELDA United dan Pahang," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya The Titans juga kini 'pening kepala' apabila sekurang-kurangnya tujuh pemainnya menjadi rebutan termasuk pasukan abang, Terengganu. Sumber itu berkata, tujuh pemain itu ialah Muhamad Safawi Rasid, Mohd Asrol Ibrahim, Muhamad Arif Fadzillah, Muhammad Ilham Amirullah, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Mohd Nor Hakim Hasan dan awang import, Makan Konate.

"Saham pemain T-Team naik mendadak selepas mereka berjaya membawa pasukan itu melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini. "Justeru, pihak pengurusan T-Team berharap pemain terbabit dapat membuat keputusan terbaik dan kalau boleh terus kekal bersama pasukan ini musim depan. - BH