Irfan Bakti Akur Tewas Kepada Pasukan Yang Berkualiti


Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, menyifatkan Kedah berhak mara ke final Piala FA selepas mengatasi pasukannya 4-0 secara agregat dalam peringkat separuh akhir.

Tewas dalam kedua-dua aksi separuh akhir, Irfan terpaksa menelan hakikat melupakan hasrat mengulangi pencapaian bergelar juara pada edisi 2011 bersama skuad Sang Penyu.

Terengganu ketinggalan seawal minit keempat menerusi jaringan Liridon Krasniqi sebelum Ken Ilso menjarakkan defisit pada minit ke-28 dan Sandro da Silva Mendonca menambah jaringan (m-47) untuk memastikan kemenangan 3-0 Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Kebangkitan diharapkan gagal diterjemahkan dan Irfan mengakui kesilapan individu pemainnya dihukum Kedah untuk meranapkan harapan peminat setia Terengganu.

“Gol kedua berpunca daripada kesilapan Shukor (Jusoh) dan telah membunuh semangat kami. Kami cuba bangkit, namun hadir pula gol ketiga pada awal babak kedua.

“Barisan tengah juga gagal menandingi kepantasan dan intensiti pemain lawan, terutama Liridon, Sandro, Baddrol (Bakhtiar) dan Syazwan (Zainon),” katanya.

Kegagalan melangkah ke final enggan dijadikan alasan jurulatih berpengalaman itu yang menuntut pasukannya segera melupakan kekalahan itu.

“Saya tetap berbangga dengan pemain saya kerana mara sehingga ke separuh akhir dan terima kasih kepada ribuan penyokong yang hadir,” tambah Irfan.
Tags