Irfan Bakti Gembira 4 Tonggak Kembali Perkuat Pasukan


Kuala Terengganu: Tiada yang lebih menggembirakan pengendali Terengganu Irfan Bakti Abu Salim selain mendapat khabar empat pemain tonggaknya bakal kembali memperkuatkan jentera pasukan pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA menentang Kedah, Sabtu ini.

Irfan berkata, empat pemain berkenaan ialah kapten Abdul Latiff Suhaimi, pemain import Lutfulla Turaev, Ismail Faruqi Ashari dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir.

“Latiff dan Turaev tidak beraksi ketika aksi separuh akhir pertama kerana menjalani penggantungan manakala Ismail dan Ferris pula mengalami kecederaan.

“Dengan kembalinya empat pemain itu, perancangan saya pasti lebih baik walaupun kami masih lagi tidak dapat menggunakan khidmat Muhamad Adib Aizuddin Abdul Latif kerana digantung perlawanan. Posisi tengah akan lebih mantap dan percaya mampu memberikan saingan yang diharapkan,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Sabtu ini, anak buah Irfan tidak mempunyai pilihan kecuali menang dengan jaringan sekurang-kurangnya 2-0 untuk melangkah ke final.

“Saya kenal dengan pemain saya dan tahu kemampuan mereka, jika taktikal yang kita rancang menjadi dan pemain mengikut strategi yang diatur, kejayaan pasti berpihak kepada kita,” kata pengendali berusia 66 tahun itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memaklumkan tiket pertemuan separuh akhir antara skuad Penyu dengan Helang Merah akan mula dijual jam 10 pagi, Sabtu ini.

Pegawai PBSNT Haslan Hashim berkata, setiap penyokong hanya dibenarkan membeli tiga keping tiket saja dan harga yang ditetapkan adalah RM20 untuk berbumbung, RM10 terbuka dan RM5 kanak-kanak.


“Sebanyak 10,000 tiket akan disediakan dan kami berharap tidak ada insiden pemalsuan tiket berlaku kali ini,” katanya.